Lokasi mangsa dibunuh di Simpang Lima, Pekan Gurney di Sitiawan. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Lokasi mangsa dibunuh di Simpang Lima, Pekan Gurney di Sitiawan. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Noor Hidayah Tanzizi


REMAJA lelaki maut ditikam abangnya yang dipercayai mempunyai masalah mental di rumah mereka di Simpang Lima, Pekan Gurney, Sitiawan, semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, pihaknya dimaklumkan berhubung kejadian itu oleh orang awam pada 7 malam.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku akibat perselisihan faham dan berlaku pergelutan antara mereka sehingga menyebabkan mangsa, 15, ditikam dengan pisau.

“Suspek yang juga abang mangsa berusia 30 tahun menikam mangsa menggunakan pisau.

“Mangsa ditemui dalam keadaan berlumuran darah di ruang tamu rumah itu dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, pisau yang digunakan sudah dirampas dan suspek ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2017 @ 12:06 PM