Hamzah Osman


KANAK-kanak lelaki berusia lapan tahun yang ditemui rentung dalam kebakaran pondok pengawal di tapak pelupusan sampah di Jalan Bukit Tembok, dekat Kilim, di sini, awal pagi hari ini, ada meminta datuknya belikan sepasang baju Melayu merah untuk Aidilfitri nanti.

Dalam kejadian jam 3.05 pagi itu, mangsa, Mohammad Syukrey Azrey dari Perumahan KEDA Wang Tok Rendong di sini, ditemui rentung, manakala bapanya, Azrey Ali, 34, melecur pada muka dan lengan kiri.

Datuknya, Ramli Puteh, 59, berkata, dia tidak menyangka permintaan cucunya supaya dibelikan sepasang baju Melayu baharu adalah permintaan terakhir sebelum dia pergi buat selama-lamanya.

"Kali terakhir saya berjumpa Kuri (Mohammad Syukrey) adalah malam tadi ketika memantau dia bermain bunga api bersama rakan sebayanya di halaman rumah sebelum dia meminta izin untuk mengikut bapanya ke tempat kerja.

"Malam tadi juga arwah ada meminta saya belikan baju Melayu merah untuk dipakai pada pagi hari raya nanti, selain beria-ria menyuruh ibunya membasuh barang lama miliknya dan disimpan di tempat selamat," katanya ketika ditemui di tempat kejadian sebentar tadi.

Ramli berkata, setakat ini dia memiliki 11 cucu dan Mohammad Syukrey adalah cucu yang paling rapat dengannya.

"Sebelum ini tiada apa masalah dan sudah beberapa kali arwah tidur di pondok pengawal itu kerana mahu menemankan bapanya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di situ.

"Apa pun saya reda dengan apa yang berlaku dan saya serahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat kejadian yang menimpa menantu dan cucu saya," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Langkawi, Deputi Superintendan Mahani Mohamed, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan siasatan masih dilakukan dengan bantuan pasukan forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah dan Pejabat Bomba dan Penyelamat Langkawi.

Berita berkaitan

Anak rentung, ayah selamat

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2017 @ 2:17 PM
Mangsa, Mohammad Syukrey (dalam bulatan) ditemui rentung. (Gambar kecil) Ramli tidak dapat menahan sebak ketika menceritakan telatah keletah cucunya. FOTO Hamzah Osman
Mangsa, Mohammad Syukrey (dalam bulatan) ditemui rentung. (Gambar kecil) Ramli tidak dapat menahan sebak ketika menceritakan telatah keletah cucunya. FOTO Hamzah Osman