KANG menunjukkan barangan yang dirampas. FOTO Fardy Bungga
KANG menunjukkan barangan yang dirampas. FOTO Fardy Bungga
Fardy Bungga


LELAKI yang mengaku sebagai ‘doktor ganja’ ditahan bersama isteri dan pembantunya, Jumaat lalu selepas didapati aktif menjual ubat-ubatan berasaskan ganja di laman sosial.

Selain itu, sindiket itu dikesan turut menyediakan peralatan untuk menagih ganja sebagai kaedah rawatan alternatif untuk pelbagai jenis penyakit.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Kang Chez Chiang berkata, serbuan dilakukan pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman di rumah sindiket terbabit di Kampung Delek Dalam, Klang, Selangor.

Katanya, hasil serbuan polis berjaya merampas 18 pokok ganja, empat kilogram tumbuhan dan serbuk disyaki ganja, empat liter minyak, coklat, madu, marjerin serta susu yang disyaki mengandungi ganja dengan nilai rampasan RM21,000 termasuk sebuah kereta.

KANG (kiri) menunjukkan barangan yang dirampas daripada sindiket menjual ubat-ubatan berasaskan ganja di laman sosial (gambar kecil). FOTO Fardy Bungga
KANG (kiri) menunjukkan barangan yang dirampas daripada sindiket menjual ubat-ubatan berasaskan ganja di laman sosial (gambar kecil). FOTO Fardy Bungga

"Polis turut merampas kek dan pes masakan yang disyaki mengandungi ganja. Mereka dipercayai aktif beroperasi menjual produk berasaskan ganja dan rawatan menggunakan kaedah ini sejak lima bulan lalu.

"Ujian saringan air kencing terhadap ketiga-tiga suspek berusia 38 hingga 58 tahun juga didapati positif ganja (THC) dan mereka direman selama tujuh hari sehingga Jumaat ini," katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Kang berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6 akta yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mei 2017 @ 12:19 PM