GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
AFP

Colombo: Sri Lanka akan membakar mayat 19 orang Islam yang meninggal dunia selepas dijangkiti Covid-19, meskipun tindakan itu membangkitkan kemarahan umat Islam di negara berkenaan.

Lazimnya, individu yang meninggal dunia akibat Covid-19 di negara itu akan dibakar dengan pemantauan pihak berkuasa kesihatan.

Bagaimanapun, waris masih tidak menuntut mayat 19 individu Muslim di rumah mayat di ibu negara itu, menyebabkan Peguam Negara Dappula de Livera memberi arahan supaya jasad mereka dibakar.

"Mayat mangsa Covid-19 yang tidak dituntut oleh ahli keluarga boleh dibakar mengikut garis panduan ditetapkan," kata jurucakap De Livera.

Difahamkan, mayat berkenaan akan dibakar pada minggu ini dengan lima daripadanya, pada Rabu.

Susulan itu, penduduk Islam yang menjadi kaum minoriti di negara itu dan kumpulan hak asasi mengemukakan 12 petisyen di mahkamah, bagi mencabar keputusan berkenaan.

Bagaimanapun, ia ditolak oleh mahkamah pada minggu lalu, tanpa sebarang alasan.

Dalam pada itu, Majlis Muslim Sri Lanka mendakwa, majoriti daripada mangsa Covid-19 di negara itu adalah orang Islam.

Selain itu, majlis itu mendakwa ada antara orang Islam yang tidak mahu mendapatkan rawatan selepas disahkan positif virus itu kerana bimbang mayat mereka akan dibakar, sekiranya meninggal dunia.

Sebelum ini, Sri Lanka mewajibkan semua mayat mangsa Covid-19 di negara itu dibakar.

Bagaimanapun, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan mayat mangsa virus itu boleh dikebumikan atau dibakar.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Disember 2020 @ 3:38 PM