AIDIL memberi arahan kepada skuadnya. FOTO Kedah Darul Aman FC
AIDIL memberi arahan kepada skuadnya. FOTO Kedah Darul Aman FC
Izzali Ismail


Alor Setar: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) tetap berwaspada dengan kemampuan skuad UiTM FC apabila berkunjung ke Stadium UiTM Shah Alam malam esok.

Ketua jurulatih KDA FC, Aidil Sharin Sahak berkata, skuadnya tidak mahu terus dibuai kelekaan walaupun mendapat rentak kemenangan 3-1 ke atas PJ City di Stadium Darul Aman Rabu lalu.

"Kemenangan di Stadium Darul Aman sudah menjadi sejarah dan kita mahu terus melihat ke depan untuk melakukan perancangan memburu kemenangan seterusnya. Kita tidak boleh ambil mudah cabaran UiTM FC memandangkan mereka juga sedang berusaha meningkatkan kedudukan lebih baik dan tambahan pula beraksi di laman sendiri.

"Jadi apa yang penting adalah, kita mahu pemain meneruskan fokus serta semangat dalam misi untuk memburu tiga mata seterusnya di tempat lawan."katanya.

Aidil juga berkata strategi melakukan beberapa pertukaran pemain ketika menentang PJ City bagi mengelak pemain mengalami kecederaan.

"Dalam tempoh jadual padat sedang dilalui, kita harus berhati-hati agar pemain tidak berisiko mengalami kecederaan dan dengan itu sebarang pertukaran pemain harus dilakukan dengan perancangan teliti.

"Namun, saya tetap menaruh keyakinan tinggi pada setiap pemain yang dimasukkan antaranya di bahagian pertahanan yang melibatkan posisi penting."

Kedah kini menduduki tangga ke-4 carta Liga Super dengan mengumpul tujuh mata melalui dua kemenangan, satu seri dan satu tewas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mac 2021 @ 2:31 PM