DUSTIN Johnson.
DUSTIN Johnson.
Agensi

Ponte Vedra Beach, Florida: Pemain nombor satu dunia, Dustin Johnson berkata dia tidak akan bertanding di Sukan Olimpik Tokyo pada musim panas ini.

Berdasarkan jadual padat menjelang Sukan Musim Panas itu yang ditunda dari 2020 kerana pandemik koronavirus, Johnson juara bertahan FedEx berkata dia lebih memilih untuk menumpukan Jelajah PGA.

"Saya tak mahu mendesak diri ini menyertainya. Ia membabitkan perjalanan jauh dan saya rasa WGC [Kejohanan Golf Dunia) berlangsung seminggu selepas itu dan Terbuka British beberapa minggu sebelum itu.

"Ia memerlukan banyak masa dan lebih baik saya fokus Jelajah PGA.''

Johnson muncul pemain Amerika Syarikat pertama mengumumkan tidak akan menyertai Olimpik yang memerlukan dua pemain setiap negara bertanding tetapi empat pemain kepada mana-mana negara yang mempunyai pemain ranking 15 teratas dunia.

Terdapat 11 pemain AS yang menduduki kelompok 15 teratas ketika ini.

Terbuka British di Royal St. George di Sandwich, England berakhir pada 18 Julai manakala acara golf Olimpik dijadualkan 11 hari selepas itu pada 29 Julai dan berakhir 1 Ogos. Kejohanan WGC-FedEx St Jude Invitational di Memphis, Tennessee pula berlangsung beberapa hari selepas itu iaitu 5 Ogos.

Dua minggu kemudian, playof Piala FedEx bermula. Piala Ryder seperti Olimpik juga ditunda daripada 2021 kerana pandemik.

Johnson yang mempertahankan gelaran Masters bulan depan sebelum ini turut membuat keputusan sama tahun lalu untuk tidak menyertai Olimpik 2020 sebelum ia ditunda.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mac 2021 @ 1:25 PM