KLOPP akui mustahil untuk Reds layak ke UCL musim depan menerusi slot Liga Perdana. FOTO AFP
KLOPP akui mustahil untuk Reds layak ke UCL musim depan menerusi slot Liga Perdana. FOTO AFP
AFP

London: Jurgen Klopp percaya kesilapan sendiri menyebabkan Liverpool dalam situasi mustahil untuk layak ke Liga Juara-Juara (UCL) musim depan menerusi kelompok empat teratas Liga Juara-Juara.

Kemenangan 1-0 ke atas Wolves pada Selasa lalu membolehkan mereka lima mata di belakang Chelsea di tempat keempat dengan berbaki sembilan perlawanan.

Misi mempertahankan gelaran Liga Perdana musnah akibat krisis kecederaan dan kelemahan pertahanan. Virgil van Dijk, Joe Gomez dan Joel Matip terpaksa berehat panjang manakala Jordan Henderson yang kerap membantu bahagian itu turut dikeketepikan akibat kecederaan pangkal paha.

Kesannya, pertahanan Liverpool melakukan lebih banyak kesilapan yang menyebabkan gawang dibolosi (9) berbanding mana-mana pasukan musim ini.

Dengan Chelsea tidak tewas dalam sepuluh aksi liga sejak Thomas Tuchel menggantikan Frank Lampard sebagai jurulatih, Klopp menyedari pintu ke kejohanan elit Eropah itu semakin tertutup rapat.

Bercakap kepada SportBild, Klopp berkata: "Lawan selalunya tidak perlukan banyak peluang ketika menentang kami kerana kami membuat banyak kesilapan besar, ada antaranya seperti lawak.

"Tetapi sebaliknya, kami mencipta banyak peluang dan masalah ini berlarutan sepanjang musim. Saya lebih suka optimis tetapi dalam liga, ia agak mustahil untuk layak (UCL) berdasarkan kedudukan kami sekarang.

"Di Tottenham, Gareth Bale kini kembali beraksi dan mereka juga memburu tempat. Tambah City dan Manchester United, kami ketinggalan jauh. Chelsea pantas meningkat.

"Mara ke kelayakan Liga Juara-Juara menerusi liga sangat sukar, anda tahu itu.''

Bagaimanapun, Liverpool masih berpeluang apabila mara ke suku akhir UCL selepas menewaskan RB Leipzig dan mereka menjuarai kejohanan itu di bawah kendalian Klopp dua musim lalu.

Ketika ditanya peluang muncul juara, Klopp membalas: "Agak sukar menjuarainya berdasarkan tahap kecederaan kami alami sekarang.''

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mac 2021 @ 1:58 PM