RUBLEV mara suku akhir di Dubai. FOTO AFP
RUBLEV mara suku akhir di Dubai. FOTO AFP
AFP

Dubai: Pilihan kedua Andrey Rublev mencatat rekod kemenangan ke-15nya musim ini selepas mudah menewaskan pemain Amerika Syarikat, Taylor Fritz 6-3, 6-1 di Dubai untuk mara ke suku akhir.

Pemain Russia itu melebarkan kemenangannya pada kejohanan tahap 500 kepada 22 perlawanan berturut-turut.

Hanya Roger Federer mengatasinya dengan bintang Switzerland itu mencatat 28 kemenangan berturut-turut di ATP 500 di antara 2014 dan 2016.

Rublev yang berusia 23 tahun menyelamatkan semua enam mata break ketika menentang Fritz dan akan bertemu pemain Hungary, Marton Fucsovics buat kali kedua dalam tempoh tiga minggu.

"Saya sangat gembira menang straight set, meyakinkan. Saya kenal Taylor sejak remaja lagi dan selalunya persaingan kami sangat sengit. Dia mempunyai servis kencang dan beraksi dengan pantas,'' kata Rublev yang mara ke peringkat lapan terakhir untuk kali keempat dalam semua kejohanan tahun ini.

Sementara itu, pemain Itali, Jannik Sinner mengatasi cabaran juara 2018, Roberto Bautista Agut 6-4, 3-6, 7-5 untuk mara ke suku akhir ketiganya musim ini.

Pemain berusia 19 tahun itu meledak 16 ace sebelum menewaskan lawannya dalam tempoh 2 jam 24 minit untuk menempah pertemuan dengan Aslan Karatsev yang mara ke separuh akhir Terbuka Australia sebelum ini.

Dalam perlawanan awal, pilihan ketiga dari Kanada, Denis Shapovalov mara suku akhir ATP ke-21nya selepas menewaskan pemain nombor 35 dunia dari Poland, Hubert Hurkacz 6-4, 6-3 dan akan menentang pemain veteran Perancis, Jeremy Chardy di suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mac 2021 @ 8:20 AM