RUBLEV menang aksi pembukaan di Dubai. FOTO AFP
RUBLEV menang aksi pembukaan di Dubai. FOTO AFP
AFP

Dubai: Andrey Rublev sekali lagi mengkritik sistem ranking ATP dengan mendakwa ia tidak menyebelahinya selepas pemain nombor lapan dunia dari Russia itu menang aksi pembukaan di Dubai semalam.

Pemain Jerman, Alexander Zverev yang menduduki ranking ketujuh dunia sebelum ini turut menganggap sistem digunakan sekarang tidak masuk akal kerana rankingnya lebih rendah daripada Roger Federer yang tidak beraksi selama setahun selepas menjalani pembedahan lutut.

Sistem baharu itu diperkenalkan bagi melindungi pemain yang tidak dapat ke luar negara dan bertanding akibat pandemik koronavirus.

Ketika pemain boleh menambah mata, mereka juga tidak boleh kehilangan mata yang dikumpul pada musim-musim sebelumnya.

"Jika dengan sistem normal, saya lebih suka nombor 4 dunia. Jadi apa pendapat anda, sama ada nombor lapan atau nombor 4?" kata Rublev ketika ditanya sama ada dia setuju dengan kenyataan Zverev.

"Dengan sistem sekarang bagi saya adalah lebih sukar menjadi nombor 4, jadi di sinilah jawapannya.''

Rublev melanjutkan kemenangannya di kejohanan taraf 500 kepada 21 perlawanan selepas menewaskan pemain kelayakan dari Finland, Emil Ruusuvuori 6-4, 6-4 pada pusingan kedua di Dubai.

Pilihan kedua dari Russia itu yang menjuarai empat kejohanan terakhir taraf sama sejak di Hamburg pada September lalu akan menentang pilihan ke-15 dari Amerika Syarikat, Taylor Fritz dalam saingan 16 terakhir.

Sementara itu, juara bertahan Terbuka AS yang juga pilihan utama Dubai, Dominic Thiem tersingkir selepas tewas kepada Lloyd Harris yang pertama kali menang ke atas pemain kelompok 10 terbaik dunia dengan keputusan 6-3, 6-4.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mac 2021 @ 12:24 PM