REEZAL  (kanan)  sahkan KBS akan  bentang protokol pengurusan penonton kepada Jawatankuasa Teknikal MKN minggu depan.
REEZAL (kanan) sahkan KBS akan bentang protokol pengurusan penonton kepada Jawatankuasa Teknikal MKN minggu depan.
Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Awan hitam yang menyelubungi Liga Malaysia (Liga M) sepanjang musim lalu berikutan halangan kemasukan penyokong disebabkan oleh Covid-19 bakal berubah musim ini, apabila Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersedia memohon untuk membenarkan semula kemasukan penyokong.

Permohonan itu yang perlu melalui kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bukan sahaja akan meningkatkan kualiti dan mutu Liga M, malah ia juga akan menyelamatkan kantung pasukan bertanding dengan kehadiran penonton ke stadium.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan berkata, kesungguhan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam membantu proses kebenaran semula penonton disambut baik dan berharap setiap pasukan dapat mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Bila dibenarkan penonton yang masuk ini nanti, ia akan menghidupkan suasana bola sepak itu sendiri. Kalau untuk pemain, ia akan dapat mengambil semangat daripada penyokong terutama apabila bermain di tempat sendiri.

"Malah dari segi peningkatan kualiti pemain juga akan bertambah, daripada sekarang dan pemain akan bertambah baik dengan mutu yang tinggi kerana disuntik oleh semangat daripada penyokong. Bukan itu sahaja, di peringkat pasukan yang dalam keadaan semasa Covid-19, ia dapat sedikit sebanyak menampung perbelanjaan pengurusan perlawanan pada hari terbabit.

"Ini dapat melegakan pasukan di mana sejak 2020 apabila liga disambung, tidak ada punca pendapatan buat pasukan dan ini menyukarkan pasukan. Malah penajaan juga kurang ketika ini disebabkan oleh Covid-19, maka ia (kemasukan penonton) satu petanda yang amat baik bagi pasukan dan keseluruhan peminat bola sepak di negara kita," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Semalam, Reezal Merican mengesahkan KBS akan membentangkan protokol pengurusan penonton kepada Jawatankuasa Teknikal MKN minggu depan untuk mendapatkan kebenaran kehadiran penyokong bola sepak ke stadium.

Katanya, beliau optimis penyokong dapat kembali menyaksikan aksi pasukan kegemaran masing-masing dalam masa terdekat jika pihaknya dapat meyakinkan MKN dan KKM berhubung protokol itu.

Sebagai permulaan, pihaknya bercadang membenarkan kemasukan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada kapasiti sebenar stadium atau 4,000 orang yang mana rendah.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mac 2021 @ 10:13 PM