PEREZ muncul juara GP Sakhir musim lalu. FOTO Agensi
PEREZ muncul juara GP Sakhir musim lalu. FOTO Agensi
Agensi

London: Max Verstappen berharap kehadiran Sergio Perez di Red Bull dapat membantu pasukan mencabar penguasaan Mercedes dalam saingan Formula 1 musim 2021.

Pemandu Mexico itu menggantikan Alex Albon dan akan bergandingan dengan Verstappen tahun ini selepas Albon gagal mencetuskan impak diharapkan pada musim pertama bersama pasukan Milton Keynes.

Verstappen yakin Perez yang muncul juara F1 kali pertama di Grand Prix Sakhir tahun lalu dapat memperkasakan misi Red Bull mengurangkan jurang dengan Mercedes dan bersaing merebut kejuaraan musim ini

"Dengan Checo saya serasi bersamanya dan hubungan kami sangat rileks dan baik,'' katanya.

''Bagi saya tiada perbezaan besar di antara kami. Bagi pasukan pula, saya fikir kami selalu mahukan kejayaan dengan kedua-dua kereta, jadi kita tunggu sama ada ia bertambah baik tahun ini.

"Sudah tentu ia sasaran pasukan, itu yang kami mahukan. Berusaha dan menjadikan ia lebih sukar buat Mercedes tahun ini. Mereka sudah tentu sekali lagi pasukan pilihan. Jadi tunggu sahaja apa akan berlaku.''

Perez sebelum ini pernah memandu jentera Mercedes berkuasa turbo V6 tetapi kali ini dia bakal kali pertama mencuba kuasa Honda di Red Bull.

Bagaimanapun, Verstappen yakin pengetahuan Perez mengenai unit kuasa Mercedes turut memberi kelebihan kepada Red Bull dengan membawa masuk idea baharu kepada pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mac 2021 @ 2:21 PM