WOODS kini menjalani rawatan lanjut di hospital Los Angeles. FOTO Agensi
WOODS kini menjalani rawatan lanjut di hospital Los Angeles. FOTO Agensi
Agensi

Los Angeles: Tiger Woods amat terharu dan menghargai sokongan padu ditunjukkan beberapa pemain golf lelaki dan wanita semalam.

Bekas pemain nombor satu dunia, Rory McIlroy antara mereka yang memakai baju merah dan berseluar hitam, warna kegemaran Woods ketika beraksi pada pusingan akhir sesuatu kejohanan.

Pemenang 15 kali kejuaraan utama berusia 45 tahun itu kini dalam proses pemulihan kakinya yang cedera teruk akibat nahas jalan raya minggu lalu.

"Sukar dijelaskan perasaan ini dan saya tersentuh apabila saya membuka televisyen dan melihat banyak baju warna merah,'' kata Woods.

"Kepada semua pemain golf dan setiap penyokong, anda benar-benar membantu saya mengharungi saat sukar dan mencabar ini.''

McIIROY (kiri) dan Reed memakai baju merah dan berseluar hitam sebagai tanda sokongan kepada Woods. FOTO AFP
McIIROY (kiri) dan Reed memakai baju merah dan berseluar hitam sebagai tanda sokongan kepada Woods. FOTO AFP

McIlroy, Tommy Fleetwood, Patrick Reed dan Tony Finau antara bintang golf yang memakai baju warna merah dan hitam ketika beraksi di Kejohanan Workday-WGC di Florida yang dimenangi pemain tuan rumah, Collin Morikawa.

Phil Mickelson turut berbuat perkara sama di kejohanan Jelajah PGA di Arizona. Begitu juga dengan Annika Sorenstam ketika menyertai LPGA Gainbridge.

"Ia hanyalah tanda sokongan kami kepadanya dan mahu dia tahu kami mendoakan yang terbaik buat Tiger," kata McIlroy, 31.

"Jika tiada Tiger Woods, saya rasa jelajah dan permainan golf secara amnya mungkin tidak lagi menarik. Dia sangat bermakna bagi kami.''

Woods berdepan tempoh panjang untuk proses pemulihan tetapi dia dilaporkan tetap bersemangat selepas dipindahkan ke hospital baharu di Los Angeles pada Jumaat lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mac 2021 @ 12:41 PM