KEDAH meraikan kejayaan muncul juara Piala Sumbangsih 2017.
KEDAH meraikan kejayaan muncul juara Piala Sumbangsih 2017.
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Mampukah Johor Darul Ta'zim (JDT) merangkul Piala Sumbangsih untuk musim keempat berturut-turut apabila sekali lagi menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Jumaat ini.

Pastinya pertembungan buku dan ruas itu menyaksikan skuad bimbingan Aidil Sharin Sahak mahu menebus kehampaan pada musim lalu selepas kali terakhir menafikan JDT menjulang piala itu pada musim 2017.

Apapun, Benjamin Mora yang membimbing Harimau Selatan sejak musim lalu sudah tentu tidak rela melihat piala pertama yang dipertandingkan terlepas ke tangan KDA FC.

Walaupun berita yang menyatakan Jonathan Herera pada awalnya akan menyertai skuad Harimau Selatan namun dipinjamkan ke kelab Liga Divisyen Pertama Argentina, Club Atlético Independiente jelas tidak menjejaskan perancangan Mora untuk membuat persiapan mengharungi aksi pertama kempen liga elit domestik.

Jika pengganti Herera masih belum dimuktamadkan, skuad Harimau Selatan kemungkinan menggunakan khidmat bekas import KDA FC , Fernando Rodriguez untuk mengisi posisi serangan tatkala pemain itu beraksi bersama Johor Darul Ta'zim II (JDT II) yang juga pasukan `feeder' JDT.

Malah, skuad Mora dianggap serba lengkap musim ini apabila kelibat Safiq Rahim yang pernah bersama JDT sejak musim 2013 hingga 2018 dan kemudiannya berkelana ke Melaka United selama dua musim kembali menyertai Harimau Selatan.

Kehadiran semula Safiq memberi impak positif dalam pasukan tatkala pengaruhnya dalam skuad itu mampu menambah kekuatan terutama di posisi tengah selain pengalaman luas tatkala bersama-sama ketika jatuh dan bangun Harimau Selatan.

Bagi pertembungan menentang KDA FC, Mora pasti sudah ada kesebelasan terbaik dan berusaha mempamerkan aksi konsisten walaupun terpaksa menjalani latihan pramusim di Johor selepas tidak dapat melakukan latihan itu di luar negara akibat pandemik Covid-19.

Apapun, JDT enggan kekecewaan musim 2017 berulang selepas tewas menerusi sepakan penalti 5-4 apabila tamat 90 minit perlawanan berkesudahan seri 1-1.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mac 2021 @ 1:43 PM