FROOME ketika bersama Ineos. FOTO Agensi
FROOME ketika bersama Ineos. FOTO Agensi
AFP

Paris: Chris Froome mendapat lonjakan semangat dalam misi menyamai rekod lima kejuaraan Tour de France apabila menamatkan kedudukan dengan selesa dalam peloton bersama pasukan baharunya.

Froome yang berusia 35 tahun menegaskan penyertaannya di Jelajah UAE selama tujuh hari minggu lalu hanya untuk memulihkan kembali tahap kecergasan dan tidak berhasrat memenangi perlumbaan.

Bekas jaguh nombor satu sukan berbasikal itu terbabas ke dinding dua tahun lalu yang hampir menamatkan kariernya tetapi tetap bersemangat kental untuk menjadi juara sekali lagi.

Untuk mencapai cita-citanya dia meninggalkan pasukan kaya, Ineos dan menyertai pasukan Israel Start-Up Nation yang diakui lebih menggembirakannya.

Froome menjalani rawatan pemulihan di California dan diberikan peranan baharu sebagai ketua pasukan ISN menjelang Tour de France.

"Tiada apa dapat menahan saya lagi, jadi saya akan beri yang terbaik dan menang kali kelima. Fikiran saya ke arah itu dan harap tubuh ini akan dapat mengikutinya,'' kata pelumba British itu.

Perlumbaan terakhir Froome bersama Ineos ketika di Vuelta a Espana tetapi rankingnya merosot pada Oktober lalu dan Jelajah UAE menyuntik kembali semangatnya.

"Ini perlumbaan pertama saya bersama ISN dan saya di sini untuk memulakan kemajuan dari segi tahap kecegasan fizikal dan mental menjelang Tour de France," katanya dalam sidang akhbar semalam.

"Ia bagus untuk selesa dalam peloton,'' katanya yang mencapai sasaran walaupun sedar masih jauh lagi untuk mencapai tahap kayuhan juara.

"Saya perlukan lebih lagi perlumbaan seperti ini tetapi langkah demi langkah akan datang bersama saya.''

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mac 2021 @ 12:33 PM