KATIE raih 15 gelaran dunia. FOTO Agensi
KATIE raih 15 gelaran dunia. FOTO Agensi
AFP

Los Angeles: Pemenang lima pingat emas Olimpik, Katie Ledecky tetap bertekad mencipta sejarah di temasya Tokyo walaupun berdepan pandemik Covid-19.

Jaguh gaya bebas Amerika Syarikat berusia 23 tahun itu yang meraih 15 gelaran dunia sukar digugat mana-mana perenang dan akan memastikan matlamatnya tercapai.

"Saya rasa sangat bagus dengan matlamat itu dan saya yakin dapat mencapainya tahun ini,'' kata Katie ketika sidang video menjelang kejohanan pertamanya di San Antonio, Texas.

Ia satu lagi langkah sebelum ke Tokyo dengan Katie mengatur program sistematik dalam misinya menjadi perenang pertama menjuarai acara 1,500m wanita di Olimpik.

"Saya sangat gembira acara 1,500 meter gaya bebas diadakan kali pertama di Olimpik untuk wanita dan selepas sekian lama akhirnya menjadi kenyataan.

"Saya tahu sejarah perenang gaya bebas wanita AS dan saya tahu ramai di antara mereka tidak mempunyai peluang seperti saya dapat malah tidak berpeluang menyertai acara 1,500 atau acara lain di Olimpik," kata Katie yang turut menyasarkan 200m, 400, dan 800m gaya bebas serta 4x200m berganti-ganti.

"Jadi saya akan menyambar peluang ini dan berharap persiapan pasukan AS menghadapi Olimpik berjalan lancar dan mengikut jadual."

Di sebalik pandemik awal yang melanda California pada Mac tahun lalu, Katie berkata dia sentiasa menjaga kecergasan dengan berenang di kolam renang miliknya dan melakukan senaman di gimnasium rumah selepas kemudahan di Universiti Stanford ditutup.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mac 2021 @ 11:54 AM