INSIDEN yang menyebabkan Solskjaer naik angin. FOTO  bbc.com
INSIDEN yang menyebabkan Solskjaer naik angin. FOTO bbc.com
AFP

London: Ole Gunnar Solskjaer percaya pengadil terpedaya dengan 'pengaruh luar' selepas skuadnya tidak diberikan penalti ketika seri 0-0 dengan Chelsea, awal pagi tadi.

Rayuan penalti mereka selepas bola terkena tangan Callum Hudson-Odoi ditolak pengadil Stuart Attwell yang kekal dengan keputusannya selepas melihat ulang tayang menerusi monitor tepi padang.

"Ia jelas penalti, saya agak risau kami tidak mendapatkannya selepas banyak bunyi bising kedengaran mengenai rekod penalti kami," kata pengendali United itu.

Insiden itu satu-satunya aksi mendebarkan dalam perlawanan hambar di Stamford Bridge.

Hudson-Odoi dan pemain United berebut dalam kotak penalti dan bola mengenai lengan atas Greenwood dan tangan Hudson-Odoi tetapi Attwell tidak memberikan penalti sebaliknya meneruskan permainan.

Bagaimanapun, dia diarah melihat semula insiden itu menerusi VAR dan selepas melihatnya dengan Hudson-Odoi turut berada di belakang, dia kekal keputusan dengan berkata pemain Chelsea tidak menggerakkan tangan ke arah bola.

Manchester United mendapat 22 penalti dalam saingan Liga Perdana sejak permulaan musim lalu, lebih empat daripada mana-mana kelab yang membuatkan pengurus Livepool, Jurgen Klopp dan bekas pengendali Chelsea, Frank Lampard mempersoalkan mengapa skuad mereka tidak mendapat kelebihan sama daripada pengadil.

"Ya, terdapat fakta pengurus pengaruhi pengadil,'' kata Solskjaer kepada Sky Sports. "Saya percaya pengadil tidak akan terpengaruh tetapi saya sangat terkejut dengan keputusannya. Nampaknya, ada pengaruh luar yang mempengaruhi pengadil.

"Kami sedar ramai memperkatakan jumlah penalti yang kami perolehi ketika tiada keraguan mengenainya dan hari ini kami patut mendapatnya, ia jelas."

Keputusan seri itu turut mengecewakan Chelsea yang menduduki tangga kelima dengan hanya satu mata di belakang kelompok empat teratas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mac 2021 @ 9:17 AM