AZIZULHASNI kini gigih jalani latihan intensif di Melbourne.
AZIZULHASNI kini gigih jalani latihan intensif di Melbourne.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Jaguh berbasikal trek negara Mohd Azizulhasni Awang hari ini berkongsi nasihat berguna mengenai kepentingan untuk sentiasa berada dalam keadaan tenang walaupun menghadapi dugaan besar.

Dikenali dengan julukan The Pocket Rocketman, Mohd Azizulhasni berkongsi pengalaman ketika zaman kanak-kanaknya mengisahkan dirinya yang hampir lemas ketika mengikut abang dan beberapa rakan lain mandi di sungai berdekatan kampung mereka.

"Apa yang saya hendak kongsikan, waktu abang saya, Azrul Hafiz ajar berenang selepas beliau selamatkan saya daripada lemas itu. Beliau ajar saya untuk terapungkan badan dulu. Beliau cakap saya kena relaks kerana kalau tidak saya akan tenggelam.

"Apabila abang saya suruh saya bertenang, saya cakap apa kau cakap ni...nanti aku lemas balik dalam air. Mula-mula memang takut, tapi apabila saya cuba belajar tenangkan diri, relakskan otak, tiba-tiba saya terapung dan saya kata ehh… betul ke ni," katanya.

Pemenang pingat gangsa acara keirin di Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro itu mengaitkan dengan kehidupan yang diibaratkan sebagai sebuah lautan dunia.

"Kita umpama berada di sebuah lautan dunia. Kita hanya perlu terapung, jangan panik dan jangan lemas. Banyak daripada kita di luar sana lemas sebab mereka panik.

"Saya harap dan doakan semua supaya menjadi orang seperti itu (tidak mudah panik), menjadi insan yang meletakkan segala-galanya kepada Allah, Tawakal," kata Azizulhasni dalam hantarannya di media sosial hari ini.

Pelumba berusia 33 tahun itu kini sedang menjalani latihan intensif di Melbourne, Australia bersama ketua jurulatih berbasikal trek negara John Beasley, adalah sandaran utama kontinjen negara di Tokyo bagi menamatkan penantian pingat emas pertama pada temasya berprestij dunia itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Februari 2021 @ 11:16 PM