IZZUDDIN dan Sze Fei berhajat sertai Terbuka Switzerland.
IZZUDDIN dan Sze Fei berhajat sertai Terbuka Switzerland.
Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Mara sehingga suku akhir Toyota Terbuka Thailand bulan lalu membolehkan ranking Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei melonjak dua anak tangga daripada kedudukan ke-29 ke 27 dunia ketika ini.

Justeru, Izzuddin amat berharap mereka akan terus diberi peluang untuk beraksi di Terbuka Switzerland yang dijadualkan berlangsung bulan depan.

Biarpun untuk layak ke Olimpik tampak sukar berikutan gandingan itu berada di belakang beregu utama, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang kini berada di kedudukan kesembilan dan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin (13), pemain kelahiran Kluang, Johor itu tetap menaruh harapan untuk diberi peluang beraksi di kejohanan lebih tinggi.

Kata Izzuddin, dia kini sudah kembali menjalani latihan seperti biasa di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara dan sedang menunggu perancangan seterusnya yang akan diaturkan oleh jurulatih buat dia dan Sze Fei.

"Jika melihat kepada perancangan, memang nama kami ada untuk kejohanan itu tapi masih belum ada sebarang keputusan. Apa yang boleh dilakukan adalah teruskan fokus kepada latihan bagi meyakinkan jurulatih.

"Aksi kami di Thailand juga agak memuaskan tapi kami mahu keputusan yang lebih baik lagi lepas ini. Keputusan di Thailand masih belum cukup. Jika boleh kami mahu melangkah lebih jauh lagi," katanya.

Untuk rekod, Terbuka Switzerland adalah kejohanan bertaraf Siri Jelajah Dunia Super 300 dan ia adalah kejohanan pertama yang menawarkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2021 @ 10:55 PM