AKSI  Rashford (kiri) menjaringkan gol kedua United.  FOTO AFP
AKSI Rashford (kiri) menjaringkan gol kedua United. FOTO AFP
Agensi

Manchester: Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp mengakui pemainnya membiarkan mereka terdedah dengan serangan balas pantas bahaya Manchester United ketika tewas 2-3 pada saingan Piala FA di Old Trafford, awal pagi tadi.

Kekalahan itu menyukarkan lagi masalah Liverpool selepas kemarau kemenangan dalam lima perlawanan Liga Perdana.

''Jaringan pertama, kami tiada kawalan. Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku. Terlalu ramai pemain dalam posisi menerima.

''Terdapat beberapa kesilapan di sekitar gawang. Jika anda mahu menang di sini anda perlu benar-benar fokus dan kami tidak.

''Ia bukanlah yang kami mahu, jadi ia mengecewakan. Kami menjaringkan dua gol tetapi mereka dapat tiga.''

Liverpool berkunjung ke Tottenham pada awal pagi Jumaat ini dengan tekanan memuncak di bahu untuk memulihkan semula kemerosotan prestasi.

''Jika anda dalam situasi anda tidak suka, anda perlu keluar segera. Kami cemerlang sejak beberapa tahun lalu dan kini melakukan beberapa kesilapan. Jangan bimbang mengenai kami, sebagai kumpulan kami kekal teguh dan perlu menyelesaikannya bersama.

''Kami akan berusaha menang semula perlawanan dan malam ini saya tak nampak sebarang masalah dengan tahap keyakinan pemain.''

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 January 2021 @ 11:08 AM