LEWANDOWSKI  (tengah) dikepung tiga pemain Mainz. FOTO AFP
LEWANDOWSKI (tengah) dikepung tiga pemain Mainz. FOTO AFP
AFP

Berlin: Robert Lewandowski meledak dua jaringan ketika Bayern Munich yang ketinggalan dua gol bangkit menewaskan Mainz 5-2 awal pagi tadi dan membolehkan juara Eropah kembali ke puncak Bundesliga.

Mainz yang mendahului 2-0 pada babak pertama gagal bertahan selepas Bayern mendominasi sepenuhnya babak kedua dengan menjaringkan lima gol di Allianz Arena.

Keputusan itu membolehkan Bayern dua mata mengatasi pasukan di tangga kedua, RB Leipzig yang berada di puncak kelmarin selepas menang 1-0 di Stuttgart.

Menurut jurulatih Bayern, Hansi Flick, kebangkitan itu meningkatkan keyakinan mereka berdepan jadual padat selepas ini manakala pengendali sementara Mainz, Jan Siewert menegaskan skuadnya sudah melakukan segalanya, tetapi "anda perlu hormati kualiti dimilliki Bayern."

LEWANDOWSKI meledak gol kemenangan Bayern melalui sepakan penalti. FOTO EPA
LEWANDOWSKI meledak gol kemenangan Bayern melalui sepakan penalti. FOTO EPA

Joshua Kimmich yang kembali beraksi selepas pulih kecederaan lutut menjaringkan gol pertama Bayern dengan Leroy Sane dan Niklas Suele turut menggegar gawang manakala Lewandowski menambah dua lagi gol untuk jaringan ke-19nya musim ini.

Lewandowski yang dinobatkan Pemain Terbaik Tahunan Fifa bulan lalu kini menjaringkan 22 gol dalam semua perlawanan buat Bayern musim ini.

"Pada babak pertama kami tampil dengan sikap berbeza sama sekali," kata Kimmich.

"Kami semua tahu mampu mengubah perlawanan tetapi sudah pasti memerlukan usaha yang gigih."

Pada perlawanan awal, sayap England, Jadon Sancho meledak gol pertamanya dalam saingan Bundesliga musim ini selepas membantu Borussia Dortmund menewaskan Wolfsburg 2-0 sekaligus menghidupkan peluang pasukannya memburu gelaran liga.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 January 2021 @ 9:27 AM