HAFIZH muncul wakil tunggal negara beraksi di Kejohanan Motosikal Dunia musim depan.
HAFIZH muncul wakil tunggal negara beraksi di Kejohanan Motosikal Dunia musim depan.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah mengakui berasa sedih kerana hanya dirinya menjadi wakil tunggal negara beraksi di Kejohanan Motosikal Dunia musim depan.

Malah Hafizh percaya bukan dirinya sahaja yang kecewa, sebaliknya perasaan sama juga dirasai peminat sukan permotoran negara.

"Saya faham tumpuan kini akan terarah kepada saya sahaja. Sudah pasti saya akan lakukan yang terbaik tetapi saya tak berani untuk menjanjikan apa-apa. Sebab pasukan yang saya sertai masih baharu dan memerlukan masa untuk meraih keputusan terbaik," katanya merujuk kepada pasukan baharunya, NTS RW Racing GP.

Di sebalik kekecewaan itu, Hafizh tetap berharap akan ada lagi pelumba negara beraksi bersamanya di pentas kejohanan dunia selepas ini.

"Memang saya harap satu hari nanti ramai pelumba Malaysia yang boleh gantikan tempat saya di Kejohanan Dunia," katanya.

Hafizh bakal menjadi wakil tunggal negara selepas seorang lagi pelumba Moto2, Kasma Daniel Kasmayudin sebelum ini mengesahkan tidak akan beraksi di saingan MotoGP musim depan.

Ia selepas Kasma serta pasukannya, SAG Team mencapai persetujuan bersama untuk berpisah meskipun masih mempunyai baki kontrak bersama SAG Team.

Sebelum itu, seorang lagi pelumba negara, Khairul Idham Pawi tidak dapat meneruskan saingan di Moto3 selepas kontraknya tidak disambung oleh Petronas Sprinta Racing.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Disember 2020 @ 9:20 PM