AMANDA miliki persamaan dengan Maria. FOTO AFP
AMANDA miliki persamaan dengan Maria. FOTO AFP
Agensi

Los Angeles: Selepas Maria Sharapova mengumumkan persaraan, berakhirlah karier salah seorang bintang paling berjaya dalam sejarah sukan. Pemain yang menggunakan tenis sebagai ikon pemasaran sukan dunia.

Max Eisenbud, orang yang bertanggungjawab membantu Maria menjuarai lima kejuaraan utama sehingga muncul atlet wanita berpendapatan paling tinggi selama lebih sedekad menganggap dia telah pun menjumpai seorang lagi pemain memiliki potensi yang sama: Amanda Anisimova.

Tinggi, berambut perang, berasal dari Rusia dan miliki bakat tenis yang unik, Amanda hampir sama dengan Maria dalam banyak perkara.

"Memang jelas, terdapat persamaan, sukar kita menafikannya,'' kata Eisenbud, ketua IMG Tennis yang banyak membantu perkembangan karier pemain seperti Maria dan Li Na, jaguh China pertama menjuarai grand slam.

"Saya ejen, kedua-duanya sangat menarik perhatian dan mempunyai susur galur Rusia. Terdapat persamaan yang sentiasa ada tetapi mereka berbeza personaliti."

Anak kepada pasangan berasal dari Rusia itu dilahirkan di Freehold, New Jersey dan berpindah ke Miami bersama keluarganya pada usia tiga tahun.

Pada 2017, dia menjuarai gelaran remaja Terbuka AS selepas menewaskan seorang lagi pemain berbakat, Coco Gauff.

AMANDA ketika menyertai Wimbledon tahun lalu. FOTO Agensi
AMANDA ketika menyertai Wimbledon tahun lalu. FOTO Agensi

Di Roland-Garros tahun lalu, Amanda yang berusia 17 tahun ketika itu mengejutkan juara bertahan Simona Halep dari Romania untuk menjadi pemain pertama yang lahir pada era 2000 mara ke separuh akhir.

Walaupun dia tewas kepada juara, Ashleigh Barty dari Australia pada saingan empat terakhir, bintang baharu sudah pun lahir.

''Kecemerlangan Amanda di Paris menarik perhatian banyak pihak,'' kata Eisenbud yang melanjutkan kontrak pemain itu bersama gergasi pakaian, Nike pada November tahun lalu.

Pada Januari, Amanda menyertai Serena Williams sebagai salah seorang pemain tenis kedua yang menjalinkan kerjasama dengan syarikat minuman Gatorade.

Dia juga baru-baru ini menandatangani kontrak jangka panjang dengan Therabody, syarikat berkaitan produk kesihatan di Los Angeles.

Pemerhati sukan tenis tidak meragui pemain remaja itu mempunyai masa depan yang cerah.

"Dia mempunyai ketepatan masa yang hebat dan setiap kali dia memukul bola, sudah pasti menyakitkan lawannya,'' kata Patrick Mouratoglou yang menjadi jurulatih Serena Williams sejak 2012.

"Pergerakannya boleh bertambah baik dan saya yakin dia boleh. Dia bekerja keras, dia dikelilingi orang yang bagus jadi dia boleh menjadi sangat 'bahaya'.''

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2020 @ 12:49 PM