Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Kejayaan pasukan Petronas Yamaha SRT menamatkan saingan kelas perdana MotoGP di tempat kedua keseluruhan pada musim ini sesuatu amat membanggakan bagi pasukan yang baru tahun kedua beraksi di Kejohanan Motosikal Dunia.

Malah Petronas Yamaha SRT juga berjaya mempertahankan pencapaian sebagai pasukan satelit (persendirian) terbaik buat tahun kedua berturut-turut sekali gus membantu Yamaha menduduki tangga kedua kedudukan pengeluar di belakang Ducati.

Ini bermakna, pencapaian Petronas Yamaha SRT jauh lebih baik berbanding pasukan Monster Energy Yamaha MotoGP dibarisi Valentino Rossi dan Maverick Vinales yang mendapat sokongan sepenuhnya daripada Yamaha apabila sekadar menamatkan saingan di kedudukan keenam keseluruhan.

Prinsipal pasukan Petronas Yamaha SRT, Datuk Razlan Razali berkata, Franco Morbidelli juga cemerlang menamatkan kedudukan pelumba di tempat kedua keseluruhan di belakang juara dunia yang baharu, Joan Mir dari pasukan Suzuki ECSTAR.

MORBIDELLI muncul naib juara MotoGP musim ini. FOTO AFP
MORBIDELLI muncul naib juara MotoGP musim ini. FOTO AFP

"Dalam masa singkat iaitu selama dua tahun, kami sudah meraih pencapaian ini. Banyak pasukan satelit yang bersaing di MotoGP sehingga 20 tahun masih tidak merasai kejayaan seperti ini.

"Lebih membanggakan ia adalah pasukan Malaysia yang dapat diurus dengan baik. Pasukan ini terdiri daripada kira-kira 60 anggota daripada 11 negara berbeza dan diketuai oleh rakyat Malaysia," katanya.

Razlan juga mengucapkan selamat maju jaya kepada pelumba negara yang beraksi di saingan Moto3, Khairul Idham Pawi.

Kontraknya tidak disambung pada tahun depan selepas tidak dapat memenuhi apa yang diharapkan pasukan pada musim ini.

"Saya harap peminat sukan permotoran bersabar. Walaupun tahun depan kita tidak dapat melihat pelumba Malaysia di pasukan ini kerana pelumba pelapis belum bersedia sepenuhnya, kami berharap ada satu atau dua pelumba dapat diserap masuk ke pasukan pada 2022," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2020 @ 11:39 PM