MESSI kurang menyerlah setakat ini. FOTO AFP
MESSI kurang menyerlah setakat ini. FOTO AFP
Agensi

London: Lionel Messi tidak bersama skuad Barcelona untuk aksi Liga Juara-Juara menentang Dynamo Kiev kerana perlukan rehat, menurut ketua jurulatih, Ronald Koeman.

Messi tersisih daripada skuad 19 pemain Barca yang akan berkunjung ke Kiev dalam aksi Kumpulan G pada awal pagi Rabu ini manakala pemain tengah, Frenkie de Jong turut tidak turut serta walaupun dia pada mulanya dikatakan bakal mengambil alih posisi pertahanan tengah milik Gerard Pique yang mengalami kecederaan.

Bintang Argentina itu berdepan kempen mengecewakan apabila hanya menjaringkan satu gol menerusi permainan terbuka dalam lapan aksi La Liga dan belum melakukan sebarang bantuan gol.

Kesemua tiga golnya dalam kempen Liga Juara-Juara musim ini menerusi penalti dan pemain berusia 33 tahun itu gagal menemui sasaran dalam sembilan percubaan menerusi permainan terbuka.

Selepas dua perlawanan tanpa sebarang gol untuk Argentina minggu lalu, Koeman membuat keputusan untuk merehatkan Messi pertengahan minggu ini.

"Leo tidak ikut serta, begitu juga Frenkie," kata Koeman dalam sidang akhbar pra perlawanan hari ini. "Kami berasakan kedua-dua mereka perlukan rehat.

"Dengan sembilan mata dalam Liga Juara-Juara, kami cukup selesa dan ini memberikan kami peluang untuk merehatkan mereka. "

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2020 @ 9:01 PM