KOEMAN menaruh sepenuh kepercayaan terhadap Messi. FOTO AFP
KOEMAN menaruh sepenuh kepercayaan terhadap Messi. FOTO AFP
Agensi

Barcelona: Lionel Messi kekal pemain bola sepak terbaik dunia dan menjadikan Barcelona pasukan lebih bagus apabila dia berada dalam skuad, kata ketua jurulatih, Ronald Koeman.

Bintang Argentina itu diletakkan dalam senarai pemain simpanan untuk aksi La Liga, kali pertama sejak September 2019 ketika menang 5-2 ke Real Betis di Camp Nou, Sabtu lalu.

Dia gagal menjaringkan atau mencipta bantuan gol dalam enam perlawanan liga sebelum aksi Sabtu lalu tetapi Koeman menafikan pemain itu digugurkan daripada skuad.

Messi menamatkan kemarau golnya selepas dimasukkan sebagai pemain gantian ketika menentang Betis dengan meledak penalti kelimanya dalam semua kejohanan musim ini.

Koeman tetap menaruh kepercayaan sepenuhnya terhadap penyerang itu yang gagal berpindah daripada kelab pada penghujung musim lalu.

"Messi menunjukkan kepada saya dia pemain yang mahu menang dan terus menjadi yang terbaik walaupun dia mempunyai masalah dengan kelab,'' kata Koeman kepada Sport.

"Barcelona menjadi lebih baik dengan adanya Messi. Ketika saya tiba, mereka berkata Messi tidak gembira.

"Kami bercakap di rumahnya dan dia menerangkan alasannya kepada saya. Saya jujur. Saya kata kepadanya ia hanyalah mengenai sistem, posisinya di atas padang dan kepentingannya kepada pasukan.

"Tetapi masalahnya dengan kelab tidak boleh saya atasi namun sejak hari pertama saya tiba, saya bercakap perkara sama. Dia kekal yang terbaik dan komited dengan kelab ini dan sejak kembali berlatih, dia sangat bagus.

"Dia mungkin tidak bernasib baik dalam beberapa perlawanan dan gagal mempamerkan prestasi kebiasaannya tetapi saya yakin pada penghujung musim, dia akan menjaringkan gol seperti biasa.''

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 November 2020 @ 9:12 AM