SANE (kiri), Lewandowski (tengah) dan  Hernandez  meraikan kemenangan selepas tamat perlawanan.  FOTO AFP
SANE (kiri), Lewandowski (tengah) dan Hernandez meraikan kemenangan selepas tamat perlawanan. FOTO AFP
AFP

Salzburg, Austria: Jaringan pertama Jerome Boateng di peringkat Eropah dalam tempoh lima tahun membantu Bayern Munich melebarkan rekod kemenangan kepada 14 perlawanan berturut-turut selepas bangkit menewaskan Salzburg 6-2.

Ketika kedudukan 2-2, Boateng meletakkan juara bertahan di hadapan selepas menanduk masuk sepakan sudut Joshua Kimmich ketika permainan berbaki 11 minit.

Leroy Sane, Robert Lewandowski dan Lucas Hernandez kemudiannya menambah derita tuan rumah untuk kemenangan ketiga berturut-turut Bayern dalam Kumpulan A.

"Ia perlawanan sukar seperti dijangkakan, Salzburg beraksi sangat baik," kata Boateng kepada Sky.

AKSI  pemain Bayern dan  Salzburg berebut menanduk bola.  FOTO AFP
AKSI pemain Bayern dan Salzburg berebut menanduk bola. FOTO AFP

"Kami mempunyai fasa baik dan buruk terutamanya pada babak kedua tetapi akhirnya kami berhak menang. Kami tidak putus asa, itu paling penting."

Sane turut mengakui 'kami terpaksa bekerja keras berbanding keputusan perlawanan.'

Mergim Berisha meletakkan Salzburg di depan tetapi Lewandowski yang muncul penjaring terbanyak kejohanan musim lalu meledak gol pertamanya dalam saingan Liga Juara-Juara sebelum pertahanan Salzburg, Rasmus Kristensen menanduk masuk ke gawang sendiri sejurus sebelum rehat.

Salzburg menyamakan kedudukan pada babak kedua menerusi pemain tengah Jepun, Masaya Okugawa sebelum Bayern kembali bangkit.

Boateng meledak gol pertamanya dalam Liga Juara-Juara sejak April 2015 apabila menanduk masuk untuk meletakkan Bayern mendahului 3-2.

Sane menembusi gawang tuan rumah menerusi rembatan lencung ketika permainan berbaki tujuh minit sebelum Lewandowski menanduk masuk gol keduanya selepas mendapat hantaran Javi Martinez pada minit ke-88.

Hernandez merembat kencang gol keenam pada masa tambahan untuk melengkapkan kemenangan bergaya juara bertahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 November 2020 @ 8:19 AM