KAKITANGAN Columbia Asia Hospital menjalani saringan penyakit kanser menerusi ujian darah. FOTO ihsan pembaca
KAKITANGAN Columbia Asia Hospital menjalani saringan penyakit kanser menerusi ujian darah. FOTO ihsan pembaca
Noor Hidayah Tanzizi


Shah Alam: Tawar ganjaran 'istimewa' satu hari cuti bergaji kepada kakitangan yang menghadiri saringan kanser secara sukarela di hospital.

Itu antara inisiatif dilakukan Columbia Asia Hospital - Bukit Rimau yang menganjurkan kempen ClockOut2CheckUp bagi memastikan kesihatan kakitangannya dalam keadaan terbaik.

Pengurus Besar Serantau Columbia Asia Hospital (Bukit Rimau, Petaling Jaya, dan Seremban), Lee Hui Chuen berkata, usaha itu bermula Julai lalu membabitkan seramai 275 kakitangan yang menyahut cabaran untuk menjadi sebahagian daripada kempen berkenaan.

Menurutnya, objektif kempen itu adalah untuk melancarkan gelombang yang bermula di hospital, seterusnya diperluaskan ke seluruh komuniti dan mengubah persepsi rakyat Malaysia berkenaan kanser.

"Kempen ClockOut2CheckUp adalah satu cara kami menyumbang kepada komuniti petugas perubatan kami. Dari jururawat sehingga ke pekerja pentadbiran, kami menawarkan peluang untuk mereka bertanggungjawab ke atas kesihatan masing-masing. Kami mahu menjadi pemangkin terhadap perubahan.

"Berdasarkan penyelidikan, kami mendapati betapa pentingnya ujian saringan kanser berkala bagi mengesan kanser peringkat awal, sekali gus mendorong kami untuk meningkatkan kesedaran serta kemudahan akses terhadap prosedur ini.

"Dengan adanya pusat kanser baharu ini, kami akan tetap bersama pesakit di setiap langkah dan memberikan mereka penjagaan berkualiti terbaik termasuk kemudahan-kemudahan yang mereka perlukan," katanya dalam kenyataan.

Hospital berkenaan menjadi pemangkin industri kesihatan tempatan menerusi pelancaran inisiatif terkini mereka sejajar dengan pembukaan pusat kanser pertama hospital itu.

Pusat Kanser Columbia Asia – Bukit Rimau baharu akan dilancarkan pada 29 September ini seiring dengan pelbagai inisiatif untuk manfaat orang awam.

Sementara itu, Perunding Perubatan Onkologi, Dr. Kananathan Ratnavelu berkata, adalah perkara normal untuk pesakit membuat penilaian sendiri memandangkan tiada petanda yang ketara.

"Jadi mereka beranggapan mereka sihat dan terkecuali dari keperluan menjalani saringan pemeriksaan kesihatan secara berkala.

"Bagaimanapun tiada jaminan bahawa anda benar-benar sihat melainkan menjalani saringan pemeriksaan kesihatan. Ujian penanda tumor yang ringkas menerusi ujian darah adalah langkah pertama tidak invasif yang boleh dijalani pesakit bagi mendapatkan maklumat awal berkenaan risiko pertumbuhan kanser.

"Sangat penting untuk industri kesihatan meningkatkan usaha bagi menggalakkan orang ramai supaya lebih selesa dengan idea saringan pemeriksaan kesihatan," katanya.

Dalam pada itu, Pembantu Rawatan Kesihatan, Columbia Asia Hospital-Bukit Rimau, Nuzul Fatihah Mohd Diah berkata, dia sudah berkhidmat dalam industri kesihatan lebih 12 tahun, tetapi ini adalah pengalaman pertamanya menjalani pemeriksaan secara sukarela.

"Selama ini kerisauan menerima keputusan negatif menghalang saya daripada menjalani pemeriksaan kesihatan sukarela sebegini, namun rakan sekerja memberi galakan untuk melakukannya.

"Saya sering menjadikan kesuntukan masa sebagai alasan, tetapi ia tidak boleh dijadikan alasan lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 September 2022 @ 11:35 PM