TSUNAMI varian Omicron boleh berlaku di Malaysia jika tidak patuh SOP.
TSUNAMI varian Omicron boleh berlaku di Malaysia jika tidak patuh SOP.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


KEBIMBANGAN Malaysia terhadap ancaman varian Omicron menjadi kenyataan apabila varian itu dikesan sudah menular di negara ini.

Lebih 60 kes varian itu direkodkan di Malaysia membabitkan pengembara dan jangkitan tempatan.

Di negara Barat pula, ledakan kes varian Omicron amat membimbangkan kerana kadar jangkitannya sangat pantas terutama ketika orang ramai berkumpul dan menikmati pelbagai musim cuti serta perayaan baru-baru ini.

Di Amerika Syarikat, varian Omicron mendominasi 70 hingga 80 peratus kes harian Covid-19.

Di New York sahaja, kes harian tertinggi direkodkan melebihi 80,000 kes baharu sehari.

Di United Kingdom pula, kes harian mencecah sehingga melebihi 157,000 sehari.

Keadaan ini berpotensi melumpuhkan perkhidmatan kesihatan seperti yang pernah dilihat ketika permulaan kemunculan jangkitan virus Covid-19.

Perancis, Itali, Portugal, Poland dan beberapa negara lain turut menunjukkan trend yang sama. Mengapakah varian Omicron merebak begitu pantas?

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) Dr Nizam Baharom berkata, varian Omicron adalah satu daripada pelbagai mutasi virus SARS-CoV-2 yang menyebabkan penyakit Covid-19.

Menurutnya, faktor utama yang ditemui oleh penyelidik dari Hong Kong ialah kebolehan virus mutasi ini untuk membiak dengan cepat.

MELAYARI saluran informasi yang betul untuk meningkatkan motivasi sepanjang pandemik.
MELAYARI saluran informasi yang betul untuk meningkatkan motivasi sepanjang pandemik.

"Setelah menjangkiti dan memasuki sel manusia, varian Omicron boleh bercambah sehingga 70 kali ganda lebih pantas berbanding varian Delta.

"Faktor kedua pula berkait dengan lokasi jangkitan virus ini di dalam tubuh manusia.

"Kajian awal mendapati varian Omicron tertumpu begitu banyak di saluran pernafasan atas seperti rongga hidung dan mulut. Jumlah virus adalah kurang jika dibandingkan dengan saluran pernafasan dalaman seperti bronkus dan paru-paru.

"Oleh itu, kebarangkalian untuk menyebarkan virus ini melalui pernafasan, percikan air liur, batuk dan bersin adalah sangat tinggi," katanya.

Beliau berkata, laporan awal daripada pelbagai negara mendapati majoriti jangkitan varian Omicron menyebabkan penyakit Covid-19 yang tidak serius.

"Afrika Selatan (varian Omicron pertama dilaporkan) mendapati kadar kematian daripada jangkitan varian Omicron adalah 2.7 peratus jauh lebih rendah daripada varian Delta iaitu 29.1 peratus.

"Agensi Keselamatan Kesihatan United Kingdom mengeluarkan laporan awal bahawa kebarangkalian mereka dijangkiti virus varian Omicron untuk dimasukkan ke hospital adalah 50 hingga 70 peratus, lebih rendah daripada mereka dijangkiti dengan varian Delta.

"Apakah yang mungkin menyebabkan fenomena sebegini? Penyelidik sama dari Hong Kong turut mendapati virus varian Omicron mempunyai kesukaran memasuki sel di bahagian paru-paru.

"Jangkitan serius Covid-19 berkait rapat dengan jangkitan ke tahap paru-paru," katanya.

Dr Nizam berkata, pasukan penyelidik di Scotland mendapati sejenis protein di dalam paru-paru dinamakan TMPRSS2, yang selama ini terbabit di dalam proses kemasukan virus Covid-19 ke dalam sel paru-paru tidak efektif untuk varian Omicron.

SEGERA ambil suntikan dos penggalak.
SEGERA ambil suntikan dos penggalak.

Katanya, varian Omicron yang ditemui pada November lalu sangat pantas merebak, namun majoriti pesakit menunjukkan gejala Covid-19 yang tidak teruk.

"Timbul persoalan, adakah kita boleh leka dengan prosedur operasi standard (SOP), langkah pencegahan dan pengawalan Covid-19? Atau apakah kita sudah terlalu letih serta mendambakan kehidupan normal prapandemik?

"Mungkin semua sudah mengetahui mengenai keadaan yang dinamakan kelesuan pandemik.

"Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) turut mengakui bahawa situasi ini amat berbahaya kerana ia boleh menurunkan kadar motivasi masyarakat untuk kekal tinggi dalam mematuhi semua SOP yang dilaksanakan kerajaan.

"Bagaimanapun, mesti diingat bahawa kelesuan pandemik tidak sama dengan kepenatan melawan Covid-19," katanya.

Pakar Perubatan Kesihatan Keluarga Usim Prof Mayda Dr Mohd Radzniwan A Rashid berkata, kepenatan atau 'burn out' yang dicetuskan oleh perkara itu, mempunyai ciri-ciri lain dan semestinya ada cara untuk mengatasi kepenatan melawan wabak seperti sering dihadapi petugas barisan hadapan yang terkesan teruk.

Dr Mohd Radzniwan berkata, kelesuan pandemik memang terjadi sama ada kepada individu, masyarakat atau negara akibat krisis global yang berlarutan seperti tiada penghujung.

"Ini dibuktikan dengan pelbagai kesalahan dan denda disebabkan ketidakpatuhan SOP ditetapkan kerajaan.

"Sebelum munculnya varian Omicron, kelesuan pandemik adalah antara punca utama berlaku gelombang pandemik di Eropah," katanya.

KAJIAN awal mendapati varian Omicron tertumpu begitu banyak di saluran pernafasan atas seperti rongga hidung dan mulut.
KAJIAN awal mendapati varian Omicron tertumpu begitu banyak di saluran pernafasan atas seperti rongga hidung dan mulut.

Katanya, keingkaran memakai pelitup muka, tiada penjarakan fizikal dan juga keengganan mengambil vaksinasi menyebabkan kesukaran untuk mengawal penularan virus dalam kalangan masyarakat di sana.

"Kelesuan pandemik juga berlaku di Malaysia, namun tidak mencapai tahap yang membahayakan seperti di negara Barat.

"Namun, sekiranya tidak dibendung, kelesuan pandemik dalam kalangan masyarakat boleh bertambah teruk sehingga mengundang kepada lonjakan kes Covid-19.

"Ingatlah kita masih belum menang dalam melawan pandemik ini. Setiap pihak sama ada kerajaan, bukan kerajaan, media, persatuan dan masyarakat mesti saling mengingatkan betapa pentingnya kepatuhan SOP demi kebaikan bersama," katanya.

Jelasnya, walaupun varian Omicron dilaporkan kurang berbahaya, namun ia cepat merebak dan masih ada pesakit dimasukkan ke hospital serta mengakibatkan kematian.

"Pencegahan adalah strategi terbaik untuk mengelakkan perkara tidak diingini terjadi. Semua orang berisiko untuk dijangkiti dengan varian berbahaya lain seperti Delta.

"Apatah lagi kemunculan mutasi baharu virus SARS-CoV-2 yang belum diketahui dan mungkin berlaku.

"Terbaharu, kita dikejutkan dengan kemunculan varian dinamakan IHU iaitu B.1.640.2, yang setakat ini menjangkiti 12 orang di tenggara Perancis," katanya.

Kata Dr Mohd Radzniwan, varian ini juga dilaporkan berasal dari Afrika.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) termasuk ProtectHealth, bertungkus-lumus untuk menyediakan kemudahan kepada rakyat untuk mengambil dos penggalak vaksin Covid-19 secara percuma.

"Peluang ini perlu disambut baik oleh semua pihak untuk meningkatkan tahap imunisasi masing-masing.

"Satu kajian terbaharu daripada Institut Penyakit Berjangkit dan Perubatan Molekular, Afrika Selatan memberikan harapan yang positif untuk program vaksinasi Covid-19 dalam melawan gelombang Omicron.

"Kajian awal menunjukkan, varian Omicron mempunyai pelbagai mutasi pada protein 'spikes' virus yang memberikannya sedikit kelebihan daripada tindakan antibodi dihasilkan daripada proses imunisasi," katanya.

Namun, Dr Mohd Radzniwan berkata, kajian dari Afrika Selatan ini menunjukkan walaupun antibodi yang dihasilkan oleh sel-B kurang berkesan terhadap varian omicron, respons imunisasi oleh sel-T (ada dua jenis: sel-T penolong dan sel-T pembunuh) adalah berkesan antara 70 hingga 80 peratus.

"Penyelidik mencadangkan bahawa tindak balas imunisasi sel-T yang baik ini boleh menjelaskan mengapa jangkitan varian Omicron tidak memberikan kesan teruk kepada pesakit.

"Penemuan daripada kajian ini seharusnya meningkatkan motivasi kita untuk melengkapkan dos penggalak vaksin Covid-19," katanya.

Menurutnya, terdapat lima tip untuk mengurangkan kelesuan pandemik dengan meningkatkan motivasi dan kekuatan minda dalam mengharungi pandemik Covid-19.

"Pertama ialah meningkatkan pengetahuan terkini mengenai apa yang berlaku dengan pandemik Covid-19. Pastikan melayari saluran informasi yang betul seperti KMM atau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

"Kedua, reda dan menerima hakikat perubahan norma baharu kehidupan sewaktu pandemik. Sebagai manusia, kita mempunyai kelebihan untuk menyesuaikan diri dalam apa jua situasi.

"Sekiranya menerima perubahan yang perlu dilakukan (dengan pengetahuan betul mengenai pandemik), kita akan berasakan kurang tekanan untuk mengamalkan rutin amalan pencegahan ini," katanya.

Beliau berkata, tip ketiga adalah mengenal pasti tanda kelesuan pandemik di dalam diri seperti keletihan berpanjangan, kemurungan, keresahan, hilang motivasi untuk amalan pencegahan serta hilang minat untuk melakukan perkara digemari sebelum ini.

Dapatkan bantuan sekiranya perlu.

"Tip keempat ialah memberikan fokus kepada perkara positif. Sebenarnya banyak kebebasan yang boleh dinikmati ketika ini.

"Kita sewajarnya bersyukur kerana masih boleh beramah mesra bersama rakan, merentas negeri, makan di luar, beriadah, melakukan hobi dan sebagainya.

"Tip terakhir pula adalah membantu orang lain mengurangkan kelesuan pandemik. Sekiranya mereka menunjukkan tanda kelesuan pandemik, bantulah dengan memberikan pengetahuan, motivasi dan keceriaan," katanya.

Dr Mohd Radzniwan berkata, WHO memberi amaran 'tsunami' kes Omicron selain kes varian delta.

Katanya lagi, tsunami ini sudah melanda banyak negara dan kebarangkalian berlaku di Malaysia adalah sangat tinggi.

"Sedikit maklumat mengenai varian Omicron yang diketahui menguatkan lagi kepentingan untuk vaksinasi, penjarakan sosial, memakai pelitup muka dengan kemas serta kerap mencuci tangan.

"Kita mungkin boleh berharap bahawa varian Omicron kurang berbahaya, namun apa yang pasti masih banyak tidak diketahui mengenai kesan jangkitan varian ini.

"Data dari luar negara menunjukkan masih ada yang memerlukan rawatan hospital dan terdapat juga kes berkomplikasi tinggi sehingga menyebabkan kematian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 January 2022 @ 6:30 AM