PAKAI pelitup muka di tempat awam.
PAKAI pelitup muka di tempat awam.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


BERMULA 11 Oktober lalu, rakyat Malaysia dibenarkan merentas negeri selain melancong ke luar negara.

Berita ini menggembirakan rakyat yang sudah lama menantikan kebenaran ini selepas hampir setahun hidup dalam 'sekatan' disebabkan pandemik Covid-19.

Namun, di sebalik keterujaan dapat pulang ke kampung untuk bertemu keluarga, orang ramai perlu memastikan mereka memiliki kelengkapan kit buatan sendiri (DIY) sebelum merentas negeri.

Kelengkapan kit DIY ini terdiri daripada kit ujian air liur (saliva) kendiri, oksimeter nadi (pulse oximeter), alat jangka suhu (thermometer), ubat asas, cecair pembasmi kuman dan pelitup muka.

1. Kit ujian air liur (saliva) kendiri

Alat ujian pantas ini digunakan untuk mengesan antigen SARS-CoV-2 yang terdapat dalam air liur manusia.

Kit ini mudah digunakan dan pengguna boleh melakukannya sendiri.

Jika keputusan ujian ini positif, individu berkaitan perlu mengunjungi fasiliti kesihatan berdekatan bagi menjalani ujian RT-PCR untuk pengesahan.

Keputusan ujian perlu dilaporkan melalui aplikasi MySejahtera.

Untuk keputusan ujian saringan negatif, terus mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

2. Oksimeter nadi (pulse oximeter)

Peranti perubatan ini digunakan untuk mengukur kadar oksigen di dalam badan dan boleh menyelamatkan nyawa.

Bacaan normal kadar oksigen dalam badan ialah dengan kepekatan oksigen 96 peratus atau lebih manakala kadar nadi normal ialah 40 hingga 100 seminit.

Jika oksigen kurang daripada 95 peratus, dinasihati ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Ia berkaitan kebimbangan individu berkaitan mengalami masalah 'happy hypoxia' yang boleh membawa maut.

Cara menggunakan oksimeter nadi ialah pengukuran dan hasil bacaan perlu dicatat tiga kali sehari serta dilakukan pada masa yang sama setiap hari.

Pastikan peranti yang digunakan mendapat kelulusan Lembaga Berkuasa Peranti Perubatan (MDA).

3. Alat jangka suhu (thermometer)

Peranti ini digunakan untuk menyaring bacaan suhu badan.

Suhu yang tepat diambil di dahi bukan bahagian badan lain.

Suhu normal manusia ialah antara 36 hingga 37.5 darjah celcius, lebih daripada itu dikira demam.

Demam adalah satu daripada gejala positif Covid-19.

4. Ubat asas

Antara ubat asas yang perlu ada ialah panadol, ubat sakit tekak, ubat selesema, air garam (ORS), ubat cirit-birit dan ubat sapuan flavin.

Ubat-ubatan ini perlu disimpan dengan cara betul seperti simpan ubat dalam bekas asal.

Ubat ini sebagai rawatan awal sebelum ke hospital untuk rawatan lanjut.

5. Cecair pembasmi kuman

Kegunaan cecair pembasmi kuman sudah menjadi keperluan sejak penularan pandemik Covid-19.

Tujuannya membersihkan tangan daripada kuman dan bakteria selepas menyentuh permukaan.

Ini sebagai satu usaha untuk mencegah jangkitan Covid-19 dan alternatif jika tiada air dan sabun untuk mencuci tangan.

Disarankan menggunakan cecair pembasmi kuman yang mengandungi kadar alkohol 60 hingga 80 peratus untuk membasmi kuman dan bakteria.

6. Pelitup muka

Pemakaian pelitup muka sangat penting ketika pandemik ini kerana mampu membantu mencegah jangkitan Covid-19, terutama ketika berada di tempat awam.

Ini kerana virus Covid-19 boleh merebak melalui titisan pernafasan daripada percakapan, batuk atau bersin.

Pemakaian pelitup muka yang dibenarkan ialah pelitup muka tiga lapis dan pelitup muka fabrik.

Pelitup muka perlu dipakai dengan cara betul seperti elakkan memakai di bawah dagu, pakai hanya sekali sahaja, tukar apabila lembap, tidak dipakai melebihi lapan jam dan elak menyentuh bahagian dalam serta luar pelitup muka tiga lapis.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 November 2021 @ 6:53 AM