Nor ‘Asyikin Mat Hayin


ADA remaja berani mencuri barang di kedai tanpa memikirkan kesan dan akibat daripada perbuatan itu.

Menurut portal MyHealth, dorongan rakan sebaya yang terbabit dalam aktiviti mencuri barang di kedai menjadi faktor remaja terjebak dalam kegiatan berkenaan.

"Kebiasaannya, barangan yang dicuri bersaiz kecil, bernilai tinggi dan mudah disorokkan dalam baju atau beg.

"Ada kalanya, barangan itu tidak diperlukan, tetapi dorongan mencuri secara impulsif mendorongnya mencuri.

"Remaja akan menjawab 'tidak tahu' apabila ditanya mengapa mencuri dan mereka sukar menjelaskan alasan sebenar," katanya.

Jelasnya, faktor lain remaja mencuri ialah menginginkan barangan yang sama taraf dipakai rakan, tetapi tidak mampu memilikinya.

"Mereka melakukan perbuatan itu kerana mahu menginginkan perhatian daripada ibu bapa dan tidak berasa kesal apabila tertangkap.

"Faktor terakhir ialah mencabar diri atau pihak berkuasa untuk melihat sama ada mereka kebal atau tidak. Mereka berasa puas jika terlepas daripada ditangkap.

"Kebanyakan remaja mengatakan tidak merancang untuk mencuri, tetapi kerana impulsif dan kurang matang di dalam membuat pertimbangan, mereka melakukannya tanpa memikirkan risiko yang dihadapi," katanya.

Katanya, peluang mencuri lebih terbuka pada musim cuti sekolah memandangkan mereka tidak mempunyai aktiviti yang tersusun dan tiada kawalan daripada ibu bapa.

"Ketagih dan melakukan aktiviti salah ini berulang kali, walaupun pernah tertangkap, antara kesan terhadap remaja yang gemar mencuri.

"Ketagihan mencuri terjadi apabila berasa sangat teruja dan terlepas setelah melakukan aktiviti yang berisiko ini.

"Ia menyebabkan penghasilan hormon adrenalina di dalam otak dan seterusnya menyebabkan perasaan 'high' atau seakan-akan berada di awang-awangan," katanya.

Menurutnya, kepuasan lebih dirasai apabila memakai atau menggunakan barangan yang dicuri itu.

"Mereka berasa sangat selesa dengan perasaan ini yang secara tidak langsung dapat merawat emosi negatif seperti perasaan marah, kecewa, murung dan tidak gembira dengan kehidupan.

"Tabiat mencuri barangan kedai boleh dicegah dengan menyalurkan tenaga dan mendapatkan perasaan 'high' secara semula jadi.

"Ia boleh diperoleh melalui aktiviti sihat seperti membeli-belah, makan di luar, membaca, bermain permainan elektronik dan melayari Internet untuk berhubung dengan rakan melalui media sosial atau telefon.

"Peranan ibu bapa amat penting untuk mendidik anak mengenai keperibadian baik dan nilai moral tinggi yang perlu mereka contohi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Oktober 2021 @ 6:30 AM