GEJALA sindrom ‘text neck’ seperti lenguh dan sakit mencucuk
GEJALA sindrom ‘text neck’ seperti lenguh dan sakit mencucuk
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Penggunaan telefon bimbit dan komputer secara berlebihan boleh menyebabkan masalah leher yang dikenali sebagai sindrom 'text neck'.

Ramai mengalami masalah ini dalam kalangan pekerja sepanjang bekerja dari rumah.

Pelajar juga tidak terkecuali mengalaminya kerana mengikuti Sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sejak penularan pandemik Covid-19.

Fisioterapi 'Flex Physiotherapy', Aisyah Amirah Rozman berkata, ini masalah biasa kepada mereka yang menggunakan telefon bimbit atau komputer secara berterusan melebihi lima jam sehari.

Menurutnya, sindrom 'text neck' adalah masalah sakit pada leher, bahu dan belakang.

"Ia terjadi akibat aktiviti menunduk kepala pada jangka masa yang lama ketika menggunakan telefon bimbit atau komputer.

"Ini kerana apabila menunduk dalam tempoh panjang, postur badan akan berubah seperti membongkok.

"Menunduk terlalu lama akan memberi impak pada leher dan tulang belakang," katanya.

Kata beliau, sebagai contoh, menunduk pada kedudukan 15 darjah, otot leher akan menampung beban sebanyak 12.25 kilogram (kg).

"Jika makin menunduk pada kedudukan 30 hingga 60 darjah, otot leher akan menampung beban 18 hingga 27kg.

"Individu yang terlalu leka bekerja, mereka tidak sedar postur badan semakin menunduk dan membongkok," katanya.

Aisyah berkata, individu yang mengalami sindrom 'text neck' akan rasa sakit pada belakang leher seperti lenguh dan sakit mencucuk.

"Leher mereka menjadi kaku, maksudnya otot pada bahagian leher dan bahu akan mengeras.

"Selain itu, mereka akan mengalami kebas tangan dan jari kerana saraf servical di kawasan leher terhimpit.

"Otot bahu dan leher turut menjadi lemah. Kesan lain yang mereka rasai ialah kerap mengalami masalah sakit kepala," katanya.

Menyentuh cara mengurangkan masalah sakit leher, Aisyah berkata, ia boleh dilakukan dengan senaman regangan otot leher.

"Senaman regangan otot leher mesti dilakukan untuk meregangkan otot leher serta untuk meningkatkan lagi peredaran darah.

"Lakukan sebelum memulakan kerja atau tugasan dan ulang 10 kali," katanya.

Cara kedua ialah urutan leher dengan lakukan urutan pada otot leher yang tegang menggunakan jari dan buat gerakan secara membulat.

"Cara ketiga penggunaan pek haba panas. Sekiranya tiada pek panas, ambil tuala kecil dan rendam dalam air suam, kemudian letak di leher selama 15 minit.

"Kelebihan kaedah ini dapat meningkatkan kadar pengaliran darah serta melembutkan otot tegang," katanya.

Jelasnya, cara seterusnya ialah penjagaan postur badan yang betul ketika duduk dan tidur.

"Ketika duduk, gulung sedikit kain atau tuala dan letakkan pada lekuk pada bahagian tulang belakang, kemudian barulah bersandar.

"Ketika tidur, pastikan ketinggian bantal mengikut kesesuaian pesakit. Mestilah tidak terlalu tebal dan tidak terlalu nipis," katanya.

Aisyah berkata, cara terakhir ialah rawatan fisioterapi apabila masalah sakit leher berlarutan.

"Ahli fisioterapi akan menerangkan punca masalah dan membuat rawatan yang sesuai.

"Ini dapat mengelakkan sindrom 'text neck' menjadi lebih teruk hingga memudaratkan kesihatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Oktober 2021 @ 6:00 AM