Dapatkan sokongan dan bantuan awal daripada orang yang dipercayai bagi mencapai kesejahteraan mental - FOTO Freepik
Dapatkan sokongan dan bantuan awal daripada orang yang dipercayai bagi mencapai kesejahteraan mental - FOTO Freepik
Hanis Aliaa Hidzir

PENULARAN wabak Covid-19 sejak tahun lalu memberikan impak yang besar kepada kesihatan mental setiap individu di dunia termasuk Malaysia.

Sesetengah individu berisiko mengalami masalah kesihatan mental seperti kemurungan apabila berada dalam situasi tertekan dan isolasi yang berpanjangan daripada rangkaian sokongan sosial seperti keluarga dan rakan.

Sekiranya keadaan ini gagal dikenal pasti dan tidak dirawat dengan baik, ia kemungkinan meningkatkan risiko tingkah laku bunuh diri.

Sempena Bulan Pencegahan Bunuh Diri Sedunia 2021 pada bulan September, "Let's TALK Minda Sihat: Bertindak Segera, Harapan Terbina" telah ditetapkan sebagai tema di peringkat nasional.

Sambutan bulan ini bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan menangani tingkah laku bunuh diri dengan segera di setiap peringkat terutama dalam situasi pandemik.

Tindakan daripada semua pihak termasuk individu, keluarga, komuniti, pemegang taruh seperti penggubal polisi, ahli politik, semua agensi kerajaan dan swasta serta NGO perlu dipergiatkan bagi mencegah tingkah laku bunuh diri dalam kalangan masyarakat.

Kenal pasti tanda-tanda kelakuan bunuh diri

Terdapat pelbagai faktor tingkah laku bunuh diri seperti masalah psikososial dan persekitaran, masalah kewangan (kehilangan pendapatan atau pekerjaan), kemurungan atau masalah mental lain, kekurangan sokongan sosial serta penyalahgunaan bahan terlarang.

Tanda-tanda kemurungan pada seseorang termasuk perubahan tingkah laku, kehilangan selera makan dan tidur, serta sentiasa kelihatan sedih dan tertekan.

Individu ini akan kehilangan minat dalam melakukan aktiviti biasa, mengasingkan diri dari keluarga, mengatakan bahawa mereka kehilangan harapan dan kewujudan mereka adalah beban kepada keluarga.

Mereka juga akan menyatakan niat mengakhiri hidup mereka, sama ada secara lisan atau secara bertulis.

Peranan keluarga, rakan

Sebagai orang terdekat, penting untuk anda peka dan prihatin kepada tanda-tanda awal kemurungan serta perubahan tingkah laku insan disayangi yang berpotensi menyumbang kepada bunuh diri.

Jadilah pendengar yang baik dan bantu mereka untuk mendapatkan bantuan profesional atau perkenalkan badan bukan kerajaan (NGO) seperti Befrienders bagi membantu individu berisiko.

Walaupun seseorang individu telah menerima dan menjalani rawatan, teruskan berhubung rapat dengan mereka dan perhatikan jika mereka masih ada kecenderungan tingkah laku bunuh diri.

Lakukan aktiviti yang mereka sukai supaya mereka tidak berasa keseorangan dan lebih tenang kerana hubungan rapat seperti ini mampu mencegah cubaan bunuh diri.

Peranan majikan

Setiap majikan bertanggungjawab mewujudkan persekitaran positif yang menyokong kesihatan mental pekerja serta memberikan peluang kepada mereka membincangkan keperluan dan bagaimana mereka boleh menyokong antara satu sama lain.

Wujudkan juga ruang minda sihat, sesi taklimat kesihatan mental, paparkan mesej-mesej positif dan memotivasi pekerja secara berkala kerana pekerja yang sihat secara mental adalah lebih produktif.

Selain itu, ambil tahu dan fahami situasi sukar yang dialami pekerja yang berisiko mempunyai masalah kesihatan mental dan pernah mengalami tragedi atau krisis kehidupan.

Sebagai tambahan, wujudkan juga pelan kesihatan mental kepada pekerja seperti saluran sokongan psikososial, merujuk individu berisiko kepada agensi berkaitan serta menyediakan caruman insurans.

Peranan komuniti

Masyarakat turut tidak terkecuali berperanan dalam mencegah tingkah laku bunuh diri dengan memupuk keharmonian melalui aktiviti-aktiviti yang boleh disertai oleh semua golongan masyarakat.

Paling penting, ringankan beban individu dengan masalah kesihatan mental dengan memberikan sokongan dan dorongan untuk mendapatkan rawatan.

Selain itu, jangan sesekali menularkan sebarang berita, video atau gambar berkaitan kejadian bunuh diri ke media sosial.

Sebagai komuniti, penting untuk mengambil tahu dan bertanya khabar ahli keluarga dan orang sekeliling yang terlibat dan terkesan akibat kejadian bunuh diri.

Buang stigma negatif terhadap keluarga serta individu dengan penyakit mental dan tidak menghakimi kejadian bunuh diri yang berlaku.

Ketua masyarakat juga boleh memupuk budaya mengambil tahu dan bertanya khabar dengan memanfaatkan medium teknologi seperti kumpulan Whatsapp kejiranan.

Peranan media

Sebagai agen penyalur maklumat, media berperanan memberikan maklumat tepat dan melaporkan kejadian bunuh diri dengan mematuhi Garis Panduan Pelaporan Media Yang Bertanggungjawab (Guidelines for Media Reporting on Suicide).

Antaranya tidak melaporkan insiden bunuh diri dengan terperinci terutama mengenai lokasi dan kaedah digunakan, identiti mangsa bunuh diri dan elakkan memaparkan gambar insiden berkenaan.

Media juga perlu mengelakkan menggunakan tajuk sensasi berkaitan insiden, tidak meletakkan berita kejadian di ruang hadapan akhbar serta sentiasa menghormati mangsa dan keluarga.

Selain mendidik mengenai pencegahan bunuh diri, media turut berperanan membimbing masyarakat mengamalkan kawalan kendiri untuk menghentikan tindakan menyebarkan imej dan paparan video insiden bunuh diri.

Justeru itu, ambil peranan masing-masing membantu mencegah tingkah laku bunuh diri terutama ketika pandemik Covid-19.

Untuk mendapatkan perkhidmatan sokongan psikososial, hubungi Talian Sokongan Psikososial KKM-Mercy Malaysia (03-29359935), The Befrienders Kuala Lumpur (03-7627 2929) atau Talian Kasih (15999).

Layari Agenda Nasional Malaysia Sihat, www.mindasihatkkm.com, www.reachout.my dan Portal Rasmi KKM bagi maklumat lanjut.

Image

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 September 2021 @ 9:16 AM