Nor 'Asyikin Mat Hayin


SEBELUM ini, Salleh Mohamad, 35, mempunyai rutin membuang air besar yang teratur iaitu sekali sehari.

Namun, sejak dua bulan lalu dia mengalami masalah sembelit dan rutin membuang air besar berubah tiga kali seminggu atau seminggu sekali.

Keadaan itu membuatkan perutnya tidak selesa dan sakit kerana tidak dapat membuang air besar seperti kelaziman.

Pakar Perunding Pembedahan Am Hospital Pakar An-Nur Dr Afizah Salleh berkata, masalah yang dialami Salleh adalah disebabkan oleh 'alteration bowel habit'.

Beliau berkata, ia bermaksud sesuatu kebiasaan yang dilakukan Salleh sebelum ini, sudah berubah kepada rutin baharu.

"Mereka yang mengalami masalah ini perlu ke hospital untuk menjalani penilaian kesihatan menyeluruh.

"Tujuannya untuk mengetahui adakah pesakit mengalami 'tenesmus' iaitu keadaan di mana, dia berasa hendak membuang air besar, tetapi tidak jadi melakukannya (membuang air besar) apabila ke tandas.

"Mungkin juga terdapat darah ketika membuang air besar dan hilang selera makan. Kita bimbang masalah seperti ini adalah gejala barah usus," katanya.

Menurutnya, sembelit bermaksud individu membuang air besar kurang daripada tiga kali seminggu.

KANAK-kanak mengalami masalah sembelit perlu dirujuk ke hospital kerana mungkin ada masalah mekanikal dalam tubuh.
KANAK-kanak mengalami masalah sembelit perlu dirujuk ke hospital kerana mungkin ada masalah mekanikal dalam tubuh.

Kata Dr Afizah, namun masalah ini (sembelit) sebenarnya bergantung kepada kelakuan (habit) usus seseorang kerana setiap individu mempunyai kelakuan (habit) usus yang berbeza.

"Sekiranya individu itu sudah terbiasa membuang air besar sekali atau dua kali seminggu, tanpa mengalami sebarang masalah seperti sakit perut dan boleh menjalani kehidupan macam biasa, ia tidak dianggap sebagai masalah sembelit kronik.

"Apabila individu membuang air besar, ia adalah satu tindakan yang membabitkan beberapa otot kompleks pada saraf.

"Apabila najis sampai ke rektum, dinding akan mengembang. Lalu saraf di dinding rektum menyebarkan isyarat untuk memulakan proses menolak najis ke bahagian rektum dan anus (bukaan rektum)," katanya.

INDIVIDU sembelit sukar membuang air besar.
INDIVIDU sembelit sukar membuang air besar.

Dr Afizah berkata, terdapat juga saraf menghantar tiga isyarat ke bahagian saraf tunjang dan akan meningkatkan lagi proses peristalsis (gesa). Ini adalah tindakan yang kawalannya secara reflek.

Jelasnya, ada juga mengalami masalah reflek kerana isyarat tidak diterima. Contoh, disebabkan masalah tulang belakang yang mengakibatkan saraf tidak normal.

"Ini antara punca yang boleh menyebabkan seseorang itu mengalami sembelit.

"Punca lain adalah masalah berkaitan dengan otak seperti kecederaan otak dan angin ahmar yang menyebabkan pesakit tidak boleh mengawal pembuangan najisnya," katanya.

Beliau berkata, satu lagi punca ialah individu yang mempunyai masalah dalam perut kronik seperti endometriosis.

Ia keadaan di mana, tisu di bahagian rahim (endometrium) tumbuh merata-rata dalam abdomen.

"Selain itu, pesakit barah dan individu yang banyak kali menjalani pembedahan turut mengalami masalah sama (sembelit).

"Ini kerana prosedur pembedahan menyebabkan banyak saraf rosak yang seterusnya mengakibatkan tiada proses peristalsis (gesa) untuk membuang air besar.

PENGAMBILAN serat mencukupi dapat elak masalah sembelit.
PENGAMBILAN serat mencukupi dapat elak masalah sembelit.

"Ada juga individu suka menahan membuang air besar dan apabila ada rasa gesaan ini, tidak mempedulikannya yang lama-kelamaan mencetuskan masalah sembelit," katanya.

Kata Dr Afizah, kaedah terbaik mengelakkan sembelit ialah dengan mengamalkan pemakanan seimbang dan pengambilan air yang mencukupi.

Jelasnya, lazimnya pesakit disarankan mengambil serat mencukupi iaitu setiap hidangan perlu ada sayur. Ini kerana keperluan serat dalam tubuh ialah 20 gram (g) sehari.

"Setiap pesakit yang datang berjumpa saya di hospital akan diberikan suplemen fiber sebanyak 20g. Ini bagi memastikan dia (pesakit) mendapat keperluan (fiber) mencukupi.

"Kemudian menggalakkan mereka mengambil sayur-sayuran dan buah-buahan ketika makan tengah hari serta malam," katanya.

Menurut Dr Afizah, sekiranya kanak-kanak mengalami masalah sembelit iaitu tidak membuang air besar sehingga dua minggu, dia perlu dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

"Ini kerana dikhuatiri kanak-kanak itu mempunyai masalah mekanikal dalam tubuh.

"Contoh, berkaitan masalah saraf pada dinding usus dan rektum, yang mana dua bahagian ini seperti tidak berkembang, lalu menyukarkan membuang air besar.

PENGAMBILAN ubat laksatif untuk meredakan sembelit.
PENGAMBILAN ubat laksatif untuk meredakan sembelit.

"Manakala remaja pula berpunca kerana tabiat tidak memakan sayur-sayuran, buah-buahan dan kurang minum air.

"Masalah sembelit kerap berlaku kepada warga emas yang terlantar kerana serangan angin ahmar, masalah tulang belakang dan kurang pergerakan.

"Usus dapat berfungsi dengan lebih baik, sekiranya banyak bergerak dan seterusnya memudahkan proses membuang air besar.

"Sebab itu pesakit diminta berjalan dan bergerak selepas pembedahan bagi tujuan ini (mengelakkan sembelit)," katanya.

Menyentuh segelintir individu yang mengalami sembelit apabila makan coklat atau minum minuman berais,
Dr Afizah berkata, setakat ini belum ada penemuan saintifik menjelaskan kaitan antara coklat dengan sembelit.

"Seperti diketahui, coklat mengandungi kafein yang boleh menyebabkan dehidrasi yang tidak mempengaruhi sama ada usus akan menyerap air atau tidak.

"Ada satu sindrom 'obstructive defecation' yang mana individu mengalami sembelit kerana terdapat masalah lemah pada lantai pelvik. Kebiasaannya, ia berlaku kepada wanita bersalin anak ramai lebih lima orang.

"Ia berlaku disebabkan menahan kesakitan dan meneran bersalin dalam tempoh lama. Bila lantai pelvik lemah, ia mengakibatkan usus di bahagian bawah bergulung atau usus terkeluar daripada dinding, peranakan dan pundi kencing jatuh," katanya.

Kata Dr Afizah lagi, kebiasaannya, mereka yang mengalami situasi ini akan duduk di tandas lama iaitu melebihi 30 minit. Malah, ada juga sehingga tiga jam.

"Mereka sentiasa berasa tidak puas dan mengorek dubur bagi mengeluarkan najis.

"Individu ini perlu dirujuk kepada pakar bedah kolorektal untuk pemeriksaan menyeluruh termasuk ujian imbasan X-ray dan menjalani pembedahan jika masalah itu pada tahap yang teruk," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 September 2021 @ 7:01 AM