INDIVIDU mempunyai fikiran mahu membunuh diri perlu dibantu.
INDIVIDU mempunyai fikiran mahu membunuh diri perlu dibantu.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


'AKU nak bunuh diri!'. Pastinya sesiapa saja akan terkejut apabila mendengar ada individu meluahkan kata-kata itu.

Perkara ini tidak boleh dipandang mudah dan terdapat pelbagai punca yang menyebabkan seseorang itu berfikir mengenai bunuh diri.

Psikologi Klinikal KPJ Ampang Puteri Specialist Hospital Shazrina Sabri berkata, bercakap dengan individu itu mengenai pemikirannya tidak menjadikannya lebih cenderung untuk mengakhiri hidupnya.

Menurutnya, ia malah boleh mengelakkan mereka untuk 'mengambil nyawa' sendiri.

"Beberapa perkara boleh dilakukan untuk membantu mereka yang mempunyai fikiran mahu membunuh diri.

"Pertama ialah pilih masa dan tempat apabila boleh bercakap dengan mereka secara terbuka serta mudah tanpa gangguan.

"Mungkin ketika melakukan sesuatu bersama-sama, semasa berjalan-jalan dan memandu," katanya.

Shazrina berkata, sekiranya melihat seseorang bercakap mengenai bunuh diri secara dalam talian, hantar mesej kepadanya secara peribadi dan jangan kongsikan luahan mereka di media sosial.

Kata Shazrina, perkara kedua ialah memulakan perbualan bersama dengan bertanyakan soalan seperti 'apa khabar', 'saya melalui minggu yang memenatkan, bagaimana pula dengan anda?' dan 'adakah semuanya baik-baik saja di rumah, tempat kerja atau sekolah?'.

"Pastikan kita menunjukkan keprihatinan yang ikhlas terhadap mereka dan mendengar luahan tanpa penilaian.

"Ketiga, setelah berasakan mereka mula mempunyai kepercayaan terhadap kita maka boleh bertanya secara berterus terang iaitu 'adakah anda berfikir untuk membunuh diri?'.

"Sekiranya mereka mengatakan 'ya', boleh berikan tindak balas seperti mengucapkan terima kasih kerana mempercayai anda dan mahu berkongsi luahan," katanya.

Shazrina berkata, yakinkan mereka bahawa kita akan sentiasa berada di sisi agar mereka tidak rasa bersendirian.

Katanya, beritahu mereka bahawa ada individu lain turut memiliki perasaan sama dan mereka tidak bersendirian.

"Beri mereka sumber bantuan bagi mencegah perbuatan itu.

Bimbing mereka untuk mendapatkan pertolongan daripada pakar kesihatan mental. Mereka mungkin memerlukan masa untuk bercakap dengan seseorang.

"Sekiranya mereka masih tidak bersedia untuk mendapatkan bantuan profesional, yakinkan bahawa mereka tidak bersendirian dan bimbing untuk mengakses maklumat pertolongan diri secara dalam talian," katanya.

SHAZRINA
SHAZRINA

Menurut Shazrina, perkara keempat yang boleh dilakukan ialah, kita perlu mengetahui apakah individu berkaitan ada sebarang perancangan untuk membunuh diri.

"Ini penting kerana individu yang membuat perancangan adalah lebih berisiko.

"Sekiranya berasakan mereka berisiko atau mengatakan tidak berasa selamat, bawanya ke unit kecemasan dengan segera.

"Ini juga dapat membantu mereka membuat rancangan krisis atau keselamatan yang terdiri daripada siapa perlu dihubungi dan apa mesti dilakukan dalam situasi krisis," katanya.

Namun jelasnya, ada beberapa perkara yang tidak boleh dilakukan iaitu jangan cuba katakan kepada mereka baha

wa bunuh diri akan menyakitkan perasaan insan tersayang.

"Jangan cuba menyelesaikan masalah mereka. Sebaliknya sentiasa dengar dengan penuh rasa empati dan tidak menuding jari.

"Jangan anggap mereka sebagai individu yang 'mencari perhatian', lihat secara serius luahan mereka dan akui perasaannya.

"Jangan cuba mencari jalan keluar yang mudah dengan meminta mereka bersikap ceria atau bersikap positif. Ini akan menunjukkan bahawa kita menafikan perasaan mereka," katanya.

Kata Shazrina, individu yang memikirkan mengenai bunuh diri mungkin berasa tersisih dan putus asa.

"Jadilah individu yang mendengar tanpa spekulasi dan bantu mereka mendapatkan sokongan serta bantuan diperlukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 September 2021 @ 6:10 AM