SATU pertiga orang dewasa di dunia menghidap penyakit darah tinggi.
SATU pertiga orang dewasa di dunia menghidap penyakit darah tinggi.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


DIANGGARKAN satu pertiga individu dewasa di dunia menghidap penyakit darah tinggi. Pesakit memerlukan rawatan perubatan jangka panjang untuk mencegah komplikasi angin ahmar dan serangan jantung.

Sebilangan besar kes penyakit darah tinggi ini disebabkan oleh gabungan faktor yang diwarisi iaitu asid deoksiribonukleik (DNA atau gen) dan faktor persekitaran seperti tabiat makan atau kurang bersenam.

Pensyarah Jabatan Perubatan, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Dr Elena Azizan berkata, satu daripada lima (~20 peratus) pesakit darah tinggi yang sukar dirawat dengan ubat darah tinggi biasa mempunyai rembesan hormon aldosteron berlebihan (penyakit aldosteronisme primer-PA).

Menurut Dr Elena, sekiranya masalah ini berpunca daripada pertumbuhan adenoma yang merembeskan hormon aldosteron berlebihan (aldosterone-producing adenoma-APA) pada salah satu kelenjar adrenal, rawatan disyorkan adalah pembedahan kelenjar adrenal untuk mengeluarkan APA berkenaan.

Kelenjar adrenal terletak di atas kedua-dua buah pinggang. Menariknya satu kajian antarabangsa diketuai beliau sendiri, Prof Morris Brown dari Queen Mary University of London dan Prof Maria-Christina Zennaro (UniversitÈ de Paris) berjaya menemui sepasang mutasi gen yang menyebabkan sesetengah APA ini berlaku.

"Dalam kajian terbitan 'Nature Genetics' pada Ogos lalu, penjujukan exome 41 APA mengenal pasti tiga APA yang mengandungi pasangan mutasi somatik di dalam gen CTNNB1 dan gen GNA11.

"Mutasi somatik dalam gen CTNNB1 sememangnya sudah pernah dikait dengan formasi APA, tetapi belum pernah dilaporkan perlu berlaku bersama mutasi somatik gen GNA11.

"Pasangan mutasi ini menyebabkan sel kelenjar adrenal merembes hormon aldosteron berlebihan ke dalam darah.

KELENJAR
KELENJAR

"Ini seterusnya mengakibatkan kepekatan garam di dalam darah meningkat yang mencetuskan penyakit darah tinggi," katanya.

Dr Elena berkata, analisis susulan mendapati, antara 27 APA yang mempunyai mutasi somatik pada gen CTNNB1 daripada pesakit kohort United Kingdom, Perancis dan Sweden, 16 mempunyai mutasi Q209 pada gen GNA11 atau gen hampir sama iaitu gen GNAQ.

Menurut Dr Elena, Gen GNA11 dan GNAQ sememangnya sebelum ini dikaitkan dalam regulasi aldosteron, tetapi tidak pernah dijangka boleh bermutasi dan menyebabkan APA.

"Paling menarik adalah kebanyakan APA yang mempunyai dua mutasi ini berlaku pada pesakit wanita.

"Sememangnya hanya satu APA mempunyai pasangan mutasi CTNNB1 dan GNA11/Q, berasal daripada pesakit lelaki iaitu seorang kanak-kanak berusia 12 tahun yang sedang mengalami akil baligh (isipadu testis enam mililiter).

DR Elena
DR Elena

"Kemunculan penyakit PA dalam kalangan pesakit wanita pula berlaku semasa permulaan kehamilan atau menopaus, iaitu waktu ketika hormon luteinizing (LH) atau hormon kehamilan (human-chorionic-gonadotropin-HCG) tinggi.

"Menariknya, antara transkrip gen yang lebih 10 kali ganda tinggi dalam APA-APA berdua mutasi ini adalah gen LHCGR, reseptor untuk LH dan HCG," katanya.

Kata Dr Elena, eksperimen yang dilakukan beliau ke atas sel kelenjar adrenal mengesahkan bahawa dua mutasi ini sememangnya meningkatkan pengeluaran aldosteron dan ekspresi gen yang berganda di dalam APA-APA berdua mutasi (termasuk LHCGR).

"Ini benar walaupun jika dibandingkan dengan sel yang hanya mempunyai mutasi CTNNB1 sahaja atau hanya mempunyai mutasi GNA11/Q sahaja.

"Penemuan ini bukan sahaja menyerlah mekanisme yang baharu untuk PA berlaku, malah mencadangkan bahawa diagnosis penyakit PA perlu dipertimbangkan jika penyakit darah tinggi berlaku pada trimester pertama (waktu rembesan HCG yang tertinggi) kerana kebanyakan penyakit darah tinggi berkaitan dengan kehamilan kebiasaannya terjadi pada trimester kedua atau ketiga," katanya.

Jelasnya, paling memuaskan baginya ialah rawatan khusus bagi menyek

at impak rembesan aldosteron berlebihan pada wanita di dalam kajian ini membolehkan mereka melengkapkan tempoh kehamilan dengan jayanya.

"Selepas membuang APA yang terbabit (setelah anak dilahirkan), pesakit ini pulih sepenuhnya dan dapat menghentikan pengambilan semua ubat darah tinggi mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 September 2021 @ 5:38 PM