UBAT bius pengsan dalam bentuk gas.
UBAT bius pengsan dalam bentuk gas.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


UMUM mengetahui, pembiusan adalah proses paling penting sebelum prosedur pembedahan dilakukan ke atas pesakit.

Ia bertujuan mematikan isyarat saraf supaya pesakit tidak rasa sakit ketika pembedahan dilakukan.

Pakar Perunding Anestesiologi MSU Medical Centre Dr Fadzlon Mohd Yatim berkata, terdapat beberapa jenis ubat bius yang boleh digunakan dalam prosedur pembiusan.

Menurutnya, antara kaedah pembiusan ialah bius separuh, bius setempat dan bius pengsan.

"Bius separuh bermaksud separuh badan pesakit pengsan manakala separuh lagi badan dalam keadaan sedar (hidup).

"Kaedah ini digunakan sebagai contoh dalam pembedahan kaki yang hanya bahagian pinggang hingga ke kaki sahaja akan dibius," katanya.

Beliau berkata, bius setempat pula digunakan untuk prosedur yang mudah dan ringkas seperti mencabut gigi apabila ubat bius diberikan di bahagian gigi sahaja.

Dr Fadzlon berkata, satu kaedah lagi ialah bius pengsan yang paling biasa didengari berbanding kaedah pembiusan lain.

"Pemberian bius pengsan dipilih bergantung kepada jenis pembedahan yang akan dilakukan dan di bahagian mana anggota badan terbabit.

"Kaedah ini kebiasaannya diberikan kepada pesakit yang menjalani prosedur pembedahan dalam tempoh lama melebihi dua jam," katanya.

Beliau berkata, ia bertujuan memastikan pesakit berada dalam keadaan selesa sepanjang prosedur berkenaan.

"Sekiranya mereka diberikan pembiusan separuh badan, ini akan membuatkan pesakit berasa lenguh badan dan tidak selesa kerana berbaring terlalu lama.

"Terdapat dua jenis ubat bius pengsan iaitu dalam bentuk gas atau cecair. Jika bius cecair, ia akan dimasukkan melalui saluran infusi cecair.

"Sebagai contoh, untuk pembedahan tulang belakang, pemilihan kaedah pembiusan melalui cecair boleh dibuat," katanya.

Katanya, gas penahan sakit yang digunakan di dewan bersalin untuk ibu yang akan melahirkan anak pula adalah sedikit berbeza dengan gas digunakan di dewan bedah.

"Ia sejenis gas yang tidak membuatkan pesakit pengsan. Pembiusan untuk proses pembedahan memerlukan ubat tambahan dan gasnya adalah lebih kuat," katanya.

Dr Fadzlon berkata, fungsi lain ubat bius ialah untuk memastikan anggota badan yang hendak dibedah tidak bergerak.

"Tujuannya supaya pakar bedah boleh melakukan pembedahan dengan lancar termasuk memudahkan proses penyambungan mana-mana bahagian anggota badan yang diperlukan.

"Terdapat juga jenis pembedahan yang pakar bedah perlu berinteraksi dengan pesakit.

"Contohnya, pesakit untuk rawatan nyeri tulang belakang. Mereka tidak perlu diberikan bius pengsan kerana pada masa prosedur dilakukan, pakar bedah akan bertanya dengan pesakit seperti, adakah berasa sakit atau mencucuk seperti terkena renjatan elektrik, maka pesakit perlu berada di dalam keadaan sedar untuk berinteraksi," katanya.

Katanya, ubat bius yang diberikan cukup untuk pesakit berasa tenang, tetapi tidak pengsan.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau berkata, berdasarkan statistik 2019, terdapat kira-kira 1,080 pakar bius berdaftar di Malaysia.

Jelasnya, jumlah ini belum mencukupi untuk memberikan perkhidmatan bius yang optimum.

"Ini kerana perkhidmatan pakar bius sangat diperlukan dalam semua prosedur pembedahan.

"Kami akan memantau tekanan darah pesakit, kadar degupan jantung dan juga paras oksigen dalam darah sewaktu pembedahan dijalankan untuk memastikan pesakit berada di dalam keadaan yang selamat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Ogos 2021 @ 6:43 AM