ELAKKAN pengambilan karbohidrat proses.
ELAKKAN pengambilan karbohidrat proses.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


SERING mendengar saranan supaya mengurangkan pengambilan karbohidrat dalam pemakanan harian untuk kesihatan tubuh yang berpanjangan.

Ini kerana, sebahagian jenis dan sumber karbohidrat boleh menjadi punca penyakit jika diambil secara berlebihan.

Karbohidrat ialah mikronutrien penting dalam badan dan komponen utama yang membekalkan sumber tenaga, selain membina tubuh sihat serta cergas.

Pengamal Perubatan Am, Dr Norman Mohd Norawi berkata, karbohidrat masih boleh diambil, tetapi perlu terlebih dahulu memahami konsep pengambilannya yang sihat.

Menurut Dr Norman, perkara utama yang perlu diketahui mengenai sumber tenaga itu ialah kebanyakan karbohidrat dimakan pada masa ini adalah daripada jenis karbohidrat proses.

"Dahulu, tidak ada teknologi digunakan untuk menghaluskan gandum sehingga menjadi tepung gandum yang halus seperti serbuk.

"Jika makan tepung gandum bijiran penuh, kesannya terhadap kesihatan tidak seteruk berbanding tepung gandum yang halus itu," katanya.

Dr Norman berkata, tepung gandum halus dipanggil sebagai karbohidrat halus disebabkan teksturnya sangat kecil.

"Contoh makanan yang diperbuat menggunakan tepung gandum halus ialah roti canai, kuih donut, roti putih dan cekodok.

"Semua makanan itu sangat cepat hadam dan bertukar menjadi glukosa dengan sangat cepat. Ia menyumbang kepada peningkatan paras glukosa sangat tinggi dalam darah. Ini kerana makanan terbabit mempunyai nilai indeks glisemik tinggi (GI)," katanya.

LEBIHKAN pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan dalam hidangan harian.
LEBIHKAN pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan dalam hidangan harian.

Kata Dr Norman, apabila sudah terlalu lama mengambil makanan berasaskan tepung gandum, ia boleh menimbulkan kesan iaitu sindrom kerintangan insulin.

"Ini kerana, lama-kelamaan insulin tidak dapat bertindak balas dengan paras glukosa yang tinggi. Jadinya, ia memerlukan lebih banyak insulin untuk menghasilkan respon sepatutnya.

"Gula pasir termasuk dalam kategori karbohidrat halus. Ia (gula pasir) terhasil daripada air tebu yang mana kandungannya ada dua jenis sahaja iaitu glukosa dan fruktosa.

"Dua kandungan ini (glukosa dan fruktosa) sebenarnya menimbulkan masalah jika diambil terlalu banyak," katanya.

Jelasnya, kandungan fruktosa dalam gula akan menjadikan rasa makanan manis itu sangat enak dan membuatkan individu ketagih serta sukar berhenti makan.

"Jadi, individu lebih cenderung mengambil gula secara berlebihan.

"Satu kesilapan apabila menganggap pengambilan gula berlebihan bersama tepung gandum dan makanan mengandungi lemak tidak sihat seperti marjerin serta biskut adalah rendah kalori.

"Saya boleh mengkelaskan karbohidrat halus (karbohidrat proses) ini sebagai lampu merah yang tidak sepatutnya dimakan secara berlebihan," katanya.

Menurut Dr Norman, perkara kedua ialah karbohidrat berkanji, tetapi berserat seperti bijiran penuh, beras perang, keledek, ubi kayu dan pisang hijau.

"Serat ini berfungsi memperlahankan penyerapan karbohidrat supaya menjadi lebih lambat dan tidak akan meningkatkan paras glukosa dalam darah dengan cepat serta insulin tidak menjadi tinggi.

"Bagaimanapun, kandungan karbohidratnya masih banyak dan pengambilannya perlu dikawal.

"Karbohidrat ini saya ketegorikan sebagai 'lampu kuning' kerana tinggi kandungan serat dan bacaan GI rendah yang akan membuatkan rasa kenyang lebih lama," katanya.

Kata Dr Norman lagi, perkara ketiga ialah karbohidrat kategori hijau iaitu makanan yang tidak mengandungi tinggi glukosa iaitu sayur-sayuran dan buah-buahan kurang manis.

"Contoh sayur-sayuran ini seperti terung, sawi, kacang dan brokoli.

"Manakala buah tidak terlalu manis seperti jambu batu dan epal, tidak ada halangan mengambilnya dalam jumlah yang banyak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Julai 2021 @ 6:20 AM