BUAH kering tinggi khasiat amat baik untuk kesihatan.
BUAH kering tinggi khasiat amat baik untuk kesihatan.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Kurma, kismis, buah tin, aprikot dan prun adalah buah kering yang tinggi khasiat, tetapi dipinggirkan.

Ia makanan sunah dan elok diambil sebagai makanan ringan kerana kaya sumber serat, nutrien dan karbohidrat kompleks yang baik untuk kesihatan.

Pakar Antioksidan, Dr Suri Roowi berkata, walaupun kandungan vitamin C buah kering ini rendah, bahan berkhasiat lain seperti polifenol jauh lebih tinggi dalam buah berkenaan.

Menurutnya, polifenol mempunyai banyak kebaikan daripada segi kesihatan. Ia boleh bertindak sebagai antibarah, antidiabetes, antidarah tinggi dan boleh mengelakkan masalah jantung.

"Hasil ujian makmal mendapati, bahan berkhasiat (polifenol) lebih tinggi dalam buah-buahan kering berbanding buah-buahan segar.

"Penggunaan suhu pemanasan di bawah 60 darjah Celsius juga tidak merosakkan khasiat dalam buah kering," katanya.

Dr Suri berkata, kajian dilakukan di Amerika Syarikat mendapati pengambilan buah kering boleh mengurangkan risiko barah prostat.

"Kajian di Belanda pula mendapati makan buah tin kering dapat menghalang pertumbuhan atau pembentukan sel barah selain buah ini menunjukkan sifat antibarah yang kuat.

"Kajian lain yang diterbitkan dalam 'Nutrition Journal' pada 2016 mendapati bahan khasiat (polifenol) paling tinggi dalam kismis diikuti buah tin, prun dan kurma.

"Kajian lain pula mendapati kurma tinggi khasiat (polifenol) manakala buah tin tinggi antoksidan," katanya.

Dr Suri berkata, kajian ke atas manusia mendapati individu yang makan buah tin kering dapat meningkatkan antioksidan dalam darah sehingga lima peratus dan nilai ini lebih tinggi berbanding minum teh hijau.

Jelasnya, pengambilan kismis pada kadar 21 gram (g) sehari pula dapat meningkatkan antioksidan darah sehingga lapan peratus.

"Kismis juga tinggi khasiat. Memandangkan kismis mempunyai indeks glisemik (GI) antara 55 hingga 69, pesakit kencing manis tidak boleh makan buah kering ini secara berlebihan.

"Bagaimanapun, terdapat kajian menunjukkan kismis membantu mengurangkan risiko kencing manis jika diambil mengikut kadar yang betul," katanya.

Menurut Dr Suri, kajian ke atas tikus mendapati buah prun kering boleh merendahkan lemak dalam arteri jantung.

"Buah prun juga membantu kesihatan tulang dalam kalangan penghidap osteoporosis. Ia bertindak dengan meningkatkan kepadatan tulang dan membantu pembentukan tulang.

"Selain memberikan sumber fiber yang tinggi, kurma pula membantu mengawal kolesterol dengan seterusnya memperbaiki profil lemak dalam darah," katanya.

Buah kranberi kering pula boleh merendahkan lemak dalam darah dan mengurangkan risiko jangkitan saluran kencing.

"Terdapat juga laporan menunjukkan buah kranberi boleh mengawal gula dan lemak dalam darah serta membantu masalah buah pinggang.

"Walaupun kebanyakan buah-buahan kering lebih tinggi khasiat antioksidan berbanding buah segar, kandungan potassium dalam buah-buahan kering juga tinggi.

"Contoh, kandungan potassium dalam aprikot kering adalah yang tertinggi diikuti dengan pic, kismis, plum atau prun dan kurma," katanya.

Katanya, kandungan potassium bagus untuk pesakit darah tinggi tapi tidak sesuai kepada mereka yang mempunyai masalah buah pinggang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Mei 2021 @ 6:35 AM