PERIODONTITIS boleh menyebabkan gigi goyang dan tercabut sendiri. - FOTO Google
PERIODONTITIS boleh menyebabkan gigi goyang dan tercabut sendiri. - FOTO Google
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


TERDAPAT 700 spesies bakteria dalam mulut sebahagiannya baik manakala yang lain boleh menyebabkan individu mendapat penyakit biasa di mulut seperti karies gigi (gigi berlubang) dan penyakit gusi.

Penyakit gusi, ia sangat biasa berlaku dalam kalangan masyarakat. Namun, ramai tidak mengetahui perbezaannya dengan karies gigi dan kepentingan pencegahan awal penyakit itu.

Pakar Periodontium dan Pensyarah Pergigian, Fakulti Pergigian Universiti Malaya (UM), Dr Norul Husna Mohamad Hassan berkata, penyakit gusi adalah penyakit mulut menyerang tisu yang menyokong gigi dikenali sebagai periodontium.

Menurutnya, tisu ini merujuk kepada gusi di sekeliling gigi, lapisan simentum dan ligamen gusi melindungi akar serta tulang yang menyokong gigi secara keseluruhan.

"Apabila tisu ini diserang, gigi akan kehilangan sokongan, akhirnya menjadi goyang dan boleh tercabut dengan sendirinya. Penyakit ini juga boleh menyerang tisu di sekeliling implan gigi.

"Berbeza dengan karies gigi, penyakit gusi adalah lebih kronik. Tindak balas imun individu itu sendiri yang akan menentukan secepat mana atau sejauh mana penyakit ini boleh menjadi lebih teruk.

"Individu ini berpotensi menjadi lebih berisiko jika mereka mempunyai faktor lain seperti keadaan gigi berlapis atau kurang air liur.

Dr Norul Husna berkata, terdapat banyak jenis penyakit gusi, tetapi yang paling biasa berlaku ialah radang gusi (gingivitis) atau radang periodontium (periodontitis).

"Apa membezakan kedua-dua ini ialah radang gusi hanya menyerang gusi dan tidak sampai ke tulang alveolar, tetapi periodontitis akan menyebabkan tulang alveolar yang memegang gigi ini terhakis.

"Kemudian menyebabkan gusi semakin haus dan gigi kelihatan panjang, akhirnya gigi goyang kerana kehilangan sokongan lalu boleh tercabut sendiri.

"Secara klinikal, gusi yang sihat jika tidak dijaga dengan baik akan menyebabkan radang gusi dan pada segelintir pesakit boleh melarat kepada radang periodontium,"katanya.

Mengenai gejala penyakit gusi katanya, gejala awal yang paling utama untuk diketahui umum ialah gusi berdarah. Tindak balas imun biasanya berlaku di dalam gusi.

"Pendarahan berlaku kerana radang iaitu tindak balas normal badan untuk melawan luka atau jangkitan yang terjadi. Contohnya, jika individu tidak gosok gigi beberapa hari berturut-turut dan meninggalkan plak di atas permukaan gigi.

"Plak itu mengandungi bakteria dan jika plak yang tertinggal berhampiran dengan gusi maka tindak balas imun akan berlaku (salur darah mengembang untuk membekalkan nutrisi serta sel darah putih bagi melawan jangkitan). Ini menyebabkan gusi mudah berdarah apabila diganggu seperti ketika memberus gigi atau berkumur.

"Jika pendarahan terus berlaku, semakin kerap atau spontan, sebaiknya berjumpa doktor gigi bagi memastikan tiada masalah gusi kronik terjadi,"katanya.

Beliau berkata, sekiranya tidak dirawati daripada awal, pesakit mungkin akan mula merasa tidak selesa. Bagi yang sensitif boleh merasakan permukaan gigi menjadi kasar disebabkan kalkulus atau karang gigi semakin banyak dan mulut semakin berbau.

"Jika dibiarkan lagi hingga melarat menjadi radang periodontium, pesakit akan mula merasa gigi semakin goyang atau berubah kedudukan, gusi semakin susut dan menyebabkan gigi kelihatan panjang.

"Gigi juga menjadi semakin sensitif kerana permukaan akar yang sepatutnya dilindungi gusi dan tulang semakin terdedah, sebahagiannya mungkin mula terasa sakit atau terdapat nanah di gusi. Akhirnya, gigi ini boleh tercabut dengan sendiri tanpa perlu ubat bius pun,"katanya.

Kata Dr Norul Husna, antara punca utama penyakit gusi semakin teruk ialah tidak mengambil berat mengenai rawatan apabila didiagnosis oleh doktor gigi atau pakar gusi.

"Oleh kerana penyakit periodontitis ini disifatkan 'penyakit senyap' yakni tidak menyakitkan, menyebabkan ramai pesakit kurang endah untuk tampil menerima rawatan.

"Di Malaysia pula, Kajian Kesihatan Oral Orang Dewasa Malaysia 2010 (NOHSA 2010) mendapati 18.2 peratus populasi di negara ini mengalami masalah radang periodontium dan 94 peratus secara keseluruhannya mempunyai masalah gusi,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 April 2021 @ 6:33 AM