SELAIN penggoreng kering, penggunaan kuali tidak melekat boleh mengurangkan penggunaan minyak dalam masakan.
SELAIN penggoreng kering, penggunaan kuali tidak melekat boleh mengurangkan penggunaan minyak dalam masakan.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


MEREKA yang mengutamakan gaya hidup sihat pastinya akan memberikan penekanan kepada cara memasak hidangan.

Tentunya mereka akan memilih peralatan yang meminimumkan penggunaan minyak seperti kuali tidak melekat dan penggoreng kering (air fryer).

Penggunaan minyak pula minimum iaitu satu sudu untuk sekadar memberi rasa dan tekstur serupa selain tidak menjejaskan nutrisi makanan yang dimasak.

Namun, timbul juga persoalan adakah penggunaan penggoreng kering ini boleh menyebabkan barah atau sebaliknya?

Pakar Perunding Ginekologi Onkologi, Datuk Dr Mohd Rushdan Md Noor berkata, setakat ini belum ada bukti yang menunjukkan penggunaan peralatan itu boleh menyebabkan barah.

Menurutnya, proses terjadi penyakit barah sangat kompleks dan banyak faktor yang terbabit.

"Sistem badan manusia sangat cekap memulih dan memelihara sel secara semula jadi walaupun sepanjang masa terdedah kepada penyebab barah iaitu melalui udara, alam sekitar dan makanan.

"Di samping faktor semula jadi, gaya hidup dan makanan yang diambil boleh bertindak sebagai penawar ataupun pelindung daripada serangan ejen penyebab barah," katanya.

Dr Mohd Rushdan yang juga ahli 'Medical Mythbusters Malaysia' berkata, penggoreng kering memiliki kebaikan seperti boleh mengurangkan pengambilan minyak dan kalori di dalam makanan.

"Namun, keburukannya ialah jika makanan berkanji yang berasaskan tumbuhan seperti kentang, roti, bijirin, kopi dan buah kering dipanaskan pada suhu lebih 120 darjah Celsius dalam tempoh panjang, ia boleh menghasilkan satu bahan dikenali sebagai 'akrilamida'.

"Akrilamida tidak semestinya dihasilkan dengan penggoreng kering saja, tetapi apa sahaja kaedah pemanasan boleh menghasilkannya termasuk dapur arang.

PENGGORENG kering belum dibuktikan penyebab kanser.
PENGGORENG kering belum dibuktikan penyebab kanser.

"Akrilamida akan dimetabolismakan kepada 'glycidamide' yang dikatakan boleh merosakkan baka (mutagenic)," katanya.

Dr Mohd Rushdan berkata, banyak lagi bahan makanan yang mengandungi akrilamida seperti jus prun, minyak zaitun hitam, buah prun kering dan buah pear kering.

"Ia juga boleh ditemui pada asap rokok dan digunakan di dalam industri menghasilkan kertas, fabrik, pemekat serta pewarna.

"Akrilamida boleh menyebabkan barah kepada tikus jika diberikan pada dos yang tinggi," katanya.

Jelasnya, penemuan itu menerusi kajian makmal dan membabitkan dua hingga tiga jenis barah sahaja (daripada lebih 150 jenis barah).

Katanya, bagaimanapun, setakat ini belum ada kajian ke atas manusia yang mengesahkan kebenaran itu.

"Malah semakan ke atas banyak kajian kes kawalan (case control) dan epidemiologi belum lagi menemui bukti kukuh mengaitkan akrilamida boleh menyebabkan kanser kepada manusia.

"Kajian terhadap pekerja industri makanan yang terdedah kepada akrilamida (dua kali lebih tinggi daripada tahap biasa) mendapati tidak ada kaitan antara bahan ini dengan barah," katanya.

Dr Mohd Rushdan berkata, kenyataan ini diakui oleh semua pertubuhan barah termasuk Pertubuhan Kanser Amerika Syarikat dan Institut Kanser Kebangsaan.

"Berkemungkinan metabolisma akrilamida di dalam tikus berbeza dengan manusia.

AMBIL makanan lengkap nutrisi.
AMBIL makanan lengkap nutrisi.

"Tambahan pula, kuantiti akrilamida dihasilkan melalui kaedah pemanasan makanan termasuk menggunakan penggoreng kering jauh lebih rendah daripada yang diberikan kepada tikus pada kajian makmal (ekstrak akrilamida ditulenkan)," katanya.

Kata Dr Mohd Rushdan, akrilamida juga dikaitkan dengan masalah saraf.

Bagaimanapun, kesan ini hanya boleh berlaku jika kuantiti yang diambil lebih daripada 500 kali lebih tinggi daripada purata pengambilan.

Oleh itu, katanya, orang ramai tidak perlu risau menggunakan penggoreng kering untuk memasak dengan syarat menggunakannya dengan cara betul dan bersederhana.

"Jangan makan kentang goreng setiap hari kerana makanan ini tidak sesuai diambil berlebihan, tidak kira bagaimana ia dimasak (sama ada menggunakan penggoreng kering ataupun tidak). Lebih-lebih lagi jika menggunakan lemak trans dan garam tinggi.

"Begitu juga dengan garam, jangan mengambilnya berlebihan, menggoreng hingga terlalu garing (perang kehitaman) dan makan dalam kuantiti yang banyak.

"Selain itu, pastikan makanan mempunyai nutrien yang mencukupi dan seimbang," katanya.

Beliau berkata, penggoreng kering boleh digunakan untuk memasak makanan lain yang tidak berkanji ataupun kurang kandungan kanjinya.

"Amalan hidup sihat, tidak merokok, tidak mengambil alkohol, tidak obesiti, mengambil banyak sayur-sayuran dan buah-buahan, bersenam serta melakukan ujian saringan akan dapat menurunkan risiko menghidap barah walaupun menggunakan penggoreng kering.

"Penggoreng kering akan menjadi antara peralatan memasak yang baik kepada pengguna, lebih-lebih lagi jika ia digunakan untuk mengurangkan pengambilan lemak dan kalori," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 April 2021 @ 7:00 AM