SEMBURAN minyak wangi di pergelangan tangan untuk haruman tahan lebih lama. - FOTO Google
SEMBURAN minyak wangi di pergelangan tangan untuk haruman tahan lebih lama. - FOTO Google
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

'Sembur minyak wangi pada titik nadi badan iaitu di pergelangan tangan dan belakang telinga.

'Bahagian ini adalah titik terbaik untuk menyemburkan minyak wangi kerana menjadikan wangian tahan lebih lama sehingga 12 jam.'

Pastinya kalangan peminat minyak wangi sudah terbiasa dengan 'petua' pemakaian minyak berkenaan.

Pemakaian minyak wangi adalah alternatif untuk mengatasi masalah bau badan.

Ini sekali gus meningkatkan keyakinan diri apabila berhadapan orang ramai.

Malah, pemilihan dan penggunaan minyak wangi juga dikatakan melambangkan personaliti setiap individu yang memakainya.

Terdapat beberapa jenis minyak wangi dalam pasaran seperti parfum, eu de parfum (EDP), eu de toilette (EDT) dan eu de cologne (EDC).

Bagi mereka yang tidak mengalami alahan pasti berasa seronok 'bermandikan' haruman minyak wangi kegemaran.

Namun, ramai juga yang mendapat alahan apabila menggunakan wangian itu hingga membuatkan mereka sengsara.

Pengamal Perubatan Am, Dr Zubaidi Ahmad berkata, seorang saintis dari Melbourne University, Australia, Dr Anne Steinemann menyatakan individu yang mudah alah kepada minyak wangi sebenarnya disebabkan alahan (sensitif) terhadap bahan kimia yang terkandung di dalam wangian itu.

ALAHAN minyak wangi boleh menyebabkan ruam kulit. - FOTO Google
ALAHAN minyak wangi boleh menyebabkan ruam kulit. - FOTO Google

"Keadaan ini disebut sebagai 'Multiple Chemical Sensitivity Syndrome' (MCSS).

"Anne memberitahu, seorang daripada tiga individu dewasa mengalami masalah ini," katanya.

Beliau berkata, antara gejala alahan terhadap minyak wangi ialah individu mengalami gangguan pernafasan, sakit kepala, bersin, mata berair dan ruam pada kulit.

"Dalam keadaan yang teruk, mereka mungkin mengalami kesukaran bernafas, sakit pada otot, keliru dengan suasana sekeliling (disorientasi) dan berisiko mendapat serangan asma," katanya.

Menurut Dr Zubaidi, seorang pakar kesihatan dari North Carolina State University, Dr Heather Patisaul memberitahu, minyak wangi boleh menyebabkan alahan disebabkan oleh bahan kimia iaitu 'Phthalates' dan 'Diethyl Phtalate' (DEP) yang ada di dalam wangian terbabit.

"Selain itu, Dr Caroline Cox dari 'Center for Environmental Health' menyebut bahawa kandungan phthalates dalam minyak wangi boleh meningkatkan gangguan reproduksi (pembiakan) lelaki.

"Ini bermakna kualiti sperma lelaki menjadi rendah seterusnya menyebabkan isteri sukar hamil.

"Kesan phthalates kepada wanita pula mungkin menyebabkan mereka mengalami masalah sindrom 'ovary polisistik' (PCOS)," katanya.

PENING antara gejala alahan minyak wangi. - FOTO Google
PENING antara gejala alahan minyak wangi. - FOTO Google

Di samping itu, katanya, tidak kurang juga ada dakwaan menganggap sebahagian minyak wangi boleh menjadi punca barah payudara dan kesukaran menurunkan berat badan.

Dr Zubaidi berkata, banyak kajian yang dijalankan saintis lebih menjurus kepada dakwaan berkenaan.

"Ia (kajian) tertumpu kepada kandungan bahan kimia seperti phthalates, 'methanol' dan 'acetyl aldehide' dalam sebahagian minyak wangi yang boleh menyebabkan masalah kesihatan.

"Oleh itu, bagi mereka yang mengalami alahan terhadap minyak wangi, dinasihatkan lebih berhati-hati dalam memilih wangian yang dijual dalam pasaran.

"Pastikan terlebih dahulu kandungan bahan dalam minyak wangi sebelum membelinya.

"Jangan tertarik membeli minyak wangi kerana harganya yang murah sedangkan derita bakal menanti mereka dalam jangka masa panjang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 April 2021 @ 6:37 AM