PESAKIT perlu diagnosis awal dan intervensi.
PESAKIT perlu diagnosis awal dan intervensi.
Nor 'Asyikin Mat Hayin


Pastinya ada ibu bapa hairan apabila anak pada peringkat bayi atau kanak-kanak tidak memandang tepat wajah mereka apabila namanya dipanggil.

Selain itu juga, anak tidak memberikan tindak balas visual terhadap permainan atau lebih cenderung memandang cahaya.

Senario itu sebenarnya ialah sebahagian daripada ciri-ciri gangguan penglihatan akibat kerosakan pada bahagian otak yang memproses penglihatan iaitu 'Cerebral Visual Impairement' (CVI).

Pakar Perunding Oftalmologi dan Pediatrik Ara Damansara Medical Centre (ADMC), Dr Norazah Abdul Rahman berkata, masalah ini bukan isu baharu, namun tidak dikesan awal kerana kurangnya kesedaran dan maklumat dalam kalangan masyarakat.

Menurut Dr Norazah, CVI adalah punca utama tahap penglihatan yang rendah dalam kalangan kanak-kanak di negara membangun dan sedang membangun.

"Di Malaysia, bilangan bayi dilahirkan dengan masalah CVI juga meningkat terutama dalam kalangan bayi pramatang yang mengalami kerosakan otak.

"Disebabkan kemajuan teknologi dan kemudahan perubatan di Malaysia, lebih ramai bayi pramatang yang dilahirkan dengan masalah otak dapat diselamatkan untuk meneruskan kehidupan dengan lebih baik," katanya.

Beliau berkata, setakat ini tiada data spesifik mengenai jumlah penghidap CVI di Malaysia kerana penyakit itu belum menjadi tumpuan dalam kalangan pakar atau doktor perubatan.

Dr Norazah berkata, punca bayi menghidap CVI ialah akibat pendarahan, kekurangan bekalan oksigen dan gula pada otak yang boleh mengakibatkan kerosakan pada sel otak.

DR Norazah menunjukkan bahagian dalaman mata.
DR Norazah menunjukkan bahagian dalaman mata.

Selain itu, katanya, ia juga boleh berpunca daripada jangkitan pada otak atau lapisannya, kecederaan otak kerana trauma, hydrocephalus dan keadaan genetik tertentu.

"Sering kali kanak-kanak yang menderita masalah CVI, salah didiagnos dengan keadaan lain iaitu gangguan tumpuan dan hiperaktif (ADHD) dan lambat bertindak balas terhadap isyarat visual.

"Kebanyakan bayi (CVI) ini turut mempunyai beberapa masalah lain seperti celebral palsy, masalah sistem koordinasi, deria dan berfikir.

"Pendedahan mengenai CVI masih rendah dan sebab itu, saya mahu meningkatkan kesedaran ini dalam kalangan masyarakat," katanya.

Kata Dr Norazah, ibu bapa hendaklah membawa anak menjalani penilaian dan intervensi awal sekiranya mengesyaki mereka (anak) menghidap CVI.

"Melalui kaedah ini, ia dapat membantu mengatasi masalah penglihatan kanak-kanak dan bayi.

CVI dialami bayi pramatang dan kanak-kanak.
CVI dialami bayi pramatang dan kanak-kanak.

"Seorang pengkaji utama masalah CVI, Dr Christine Roman-Lantzy, membangunkan spektum dan julat CVI yang berkaitan dengan tahap keterukan ciri-ciri penglihatan ditunjukkan pesakit," katanya.

Kata Dr Norazah, tahap itu terbahagi kepada tiga fasa.

Fasa pertama ialah fungsi pada tahap paling rendah apabila pesakit memberikan tindak balas penglihatan paling minimum.

"Fasa kedua adalah tahap lebih tinggi yang prestasi visual dihubungkan dengan peningkatan fungsi.

"Fasa ketiga pula adalah tahap prestasi paling tinggi yang beberapa ciri biasa penglihatan dapat diperoleh," katanya.

Namun, kata Dr Norazah, strategi intervensi seharusnya berdasarkan kepada fasa CVI dan tahap fungsi serta ciri penglihatan semasa pesakit.

Tambahan pula, katanya, ramai ibu bapa masih tercari-cari hospital yang bersesuaian dalam memberikan rawatan CVI.

DR Norazah menunjukkan bahagian otak yang memproses penglihatan.
DR Norazah menunjukkan bahagian otak yang memproses penglihatan.

"Rawatan CVI di negara ini bermula di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 2018. Namun, ADMC adalah hospital swasta pertama yang memberikan rawatan berkenaan.

"Kebanyakan kanak-kanak CVI, berkemungkinan mempunyai kekurangan dan permasalahan lain termasuk kelemahan otot, bahasa, percakapan tidak sekata serta gangguan deria.

"Oleh itu, penglibatan pasukan perubatan daripada pelbagai bidang adalah penting bagi menangani masalah ini, selain mendapatkan penyelesaian terbaik untuk setiap anak serta keluarga mereka," katanya.

Menurut Dr Norazah, di ADMC, pasukan pakar perubatan yang merawat pesakit CVI terdiri daripada pakar neurologi pediatrik, pakar oftalmologi pediatrik, pakar rehabilitasi fizikal, pemulihan cara kerja dan optometrist.

"Mereka akan bekerjasama mendiagnosis, mendapatkan rancangan rawatan dan memberikan rawatan diperlukan.

"Pasukan ini turut disokong oleh pengamal fisioterapi, terapi percakapan dan psikologi kanak-kanak berdasarkan keperluan," katanya.

Dr Norazah berkata, terdapat pelbagai cabaran yang terpaksa ibu bapa lalui apabila memiliki anak menghidap penyakit berkenaan.

PESAKIT CVI cenderung kepada warna yang terang.
PESAKIT CVI cenderung kepada warna yang terang.

"Antaranya ialah mempunyai banyak janji temu dengan hospital untuk pelbagai program rawatan dan rawatan susulan anak.

"Ini menyebabkan masa bersama ahli keluarga yang lain terbatas serta gangguan pada jadual harian ibu dan bapa.

"Secara tidak langsung, ia boleh memberi tekanan yang akan menjejaskan kesihatan mental ibu bapa," katanya.

Kata Dr Norazah, perawat di hospital ini mampu memberikan rawatan pusat sehentian yang komprehensif dan memudahkan aturan hidup pesakit CVI dan keluarganya.

Kesimpulannya, CVI dikenal pasti sebagai gangguan pemprosesan visual yang berkait rapat dengan ketidakupayaan pembelajaran dan perkembangan lain.

"Diagnosis awal dan intervensi adalah kunci untuk menguruskan penyakit ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mac 2021 @ 7:00 AM