PENYELIA Jururawat Hospital Pulau Pinang (HPP), Hafisah Hamzah menunjukkan vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech yang digunakan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) HPP di Georgetown, semalam. FOTO Danial Saad
PENYELIA Jururawat Hospital Pulau Pinang (HPP), Hafisah Hamzah menunjukkan vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech yang digunakan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) HPP di Georgetown, semalam. FOTO Danial Saad
BERNAMA

Kuala Lumpur: Selepas lebih setahun berperang dengan wabak Covid-19, akhirnya vaksin yang menjadi sinar harapan dalam menangani pandemik itu akhirnya tiba di bumi Malaysia pada 21 Februari lalu.

Tanggal 24 Februari pula menandakan bermulanya Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi orang pertama menerima suntikan vaksin jenis Pfizer-BioNTech di Pusat Kesihatan Daerah Putrajaya.

Antara yang turut terawal menerima vaksinasi ialah Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Di samping rakyat Malaysia yang gembira dengan Program tersebut, kebanyakan pemain industri juga turut menarik nafas lega kerana mereka yakin ianya dapat memulihkan ekonomi negara ini dan seterusnya mampu mengembalikan kehidupan seperti sediakala.

Malaysia memperoleh 66.7 juta dos vaksin Covid-19 melalui Fasiliti COVAX daripada lima pengeluar. Vaksin berkenaan ialah Pfizer-BioNTech, AstraZeneca, Sinovac, CanSinoBIO dan Sputnik V.

Semua yang layak menerima vaksinasi digalakkan untuk mendaftar dan harapan ini turut disuarakan oleh Perdana Menteri sendiri kerana ia penting untuk memastikan Malaysia mencapai sasaran membentuk imuniti berkelompok.

Namun, berdasarkan data kajian 'Covid-19 World Symptom Survey' yang dikendali Facebook dan University of Maryland, Amerika Syarikat, kadar responden dari Malaysia yang sanggup divaksinasi adalah 74.39 peratus setakat 6 Feb lalu.

Kira-kira 20 peratus rakyat Malaysia pula dilihat masih ragu-ragu dan berpendirian atas pagar sama ada untuk menerima atau menolak suntikan vaksin Covid-19.

Ujian klinikal sebelum kelulusan vaksin

Presiden Persatuan Farmasi Malaysia, Amrahi Buang berkata, kegusaran dalam kalangan masyarakat perlu ditangani segera dengan memberi maklumat secara berterusan supaya dapat memupuk pemahaman mengenai kepentingan vaksin Covid-19.

Menurut beliau, kerajaan sudah menyediakan pelbagai platform untuk mendidik dan memberi maklumat sahih kepada orang ramai tentang vaksin bagi menyakinkan mereka bahawa ia selamat dan tidak memudaratkan kesihatan mereka.

"Buku panduan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, portal-portal rasmi serta maklumat daripada kementerian dan agensi berkaitan merupakan platform terbaik untuk rujukan tentang vaksin," katanya ketika menjadi panel Program Webinar 'Mengapa, Kenapa dan Keperluan Vaksinasi Covid-19', baru-baru ini.

Beliau menambah, faktor lain yang menjadi kegusaran rakyat ketika ini ialah aspek keselamatan, kualiti dan keberkesanannya, selain status halal terhadap vaksin itu.

"Namun, Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi Bahagian Kawal Selia Farmasi Negara (NPRA) menjalankan ujian serta penyelidikan dengan rapi, sebelum memberi kelulusan, begitu juga dengan Majlis Fatwa Kebangsaan yang telah mengesahkan vaksin adalah halal.

"Keberkesanan setiap jenama vaksin adalah berbeza dan masing-masing mempunyai kelebihan dan keunikan bagi kegunaan dalam keadaan tertentu. Semmuanya perlu didaftarkan di bawah NPRA terlebih dahulu.

"Tidak semudah itu NPRA menerima apa-apa vaksin masuk ke dalam negara, walaupun vaksin sudah diluluskan oleh Amerika Syarikat dan United Kingdom, namun apabila mahu masuk ke Malaysia, ia tidak semestinya akan diluluskan serta-merta tanpa menjalankan penyelidikan terlebih dahulu," tegasnya.

Pakar Ortopedik, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, Dr Muhamad Aizat Mohamed Saat pula berkata, bukan semua penerima vaksin akan menunjukkan kesan sampingan dan jika ada pun, ia adalah minimum.

"Mereka tidak perlu risau kerana selepas menerima vaksin, setiap penerima akan dipantau rapi menerusi aplikasi MySejahtera dan kerajaan turut menubuhkan satu jawatankuasa pakar khas yang bertanggungjawab meneliti kesan sampingan selepas divaksin.

"Namun demikian, jika mereka mempunyai sebarang alahan terhadap vaksin ataupun sedang dalam 'medication', mereka disarankan untuk merujuk kepada doktor terlebih dahulu sebelum mendapatkan vaksin," katanya.

Beliau menambah, kesan sampingan yang dialami ini adalah seperti tanda-tanda seseorang mendapat jangkitan selesema. Namun, ia akan menghilang dalam tempoh beberapa hari selepas disuntik dan ia hanyalah kesan sampingan yang bersifat ringan.

"Sebenarnya, kesan sampingan yang dialami ini adalah tanda bahawa tubuh badan anda sedang bertindak balas selepas menerima suntikan vaksin dan menunjukkan bahawa sistem imun anda berfungsi dengan baik," katanya.

Menurut Dr Muhammad Aizat, bagi penghidap penyakit tidak menular (NCD) seperti kencing manis dan darah tinggi, mereka juga tidak perlu risau terhadap kandungan vaksin yang mungkin menjejaskan kandungan gula dalam darah dan tekanan darah.

"Kandungan gula dan garam dalam vaksin itu sangatlah minimum dan ia adalah perlu dalam vaksin bagi mengekalkan kandungan dalam vaksin tersebut, ia tidak akan meningkatkan kandungan gula dan garam dalam tekanan darah mereka apabila divaksinasi," jelasnya.

Pemantauan rapi terhadap golongan berisiko tinggi

Pengerusi Pusat Dialisis Lestari, Koperasi Warga USM Kelantan Berhad, Profesor Madya Dr Mohamed Saat Ismail berkata, memandangkan pesakit mereka adalah golongan berisiko tinggi, pihaknya akan memastikan mereka mendapatkan nasihat daripada doktor sebelum mendapatkan vaksin.

"Pemantauan rapi harus dilakukan sekiranya mereka dibenarkan untuk mendapatkan vaksin kerana pada masa yang sama mereka juga turut mengambil ubat-ubatan dan menjalankan rawatan dialisis, selain kesan-kesan sampingan selepas vaksin.

"Selain itu, kami juga turut akan memberi penerangan tentang kepentingan vaksin Covid-19 bagi mereka yang tergolong dalam kumpulan berisiko itu," katanya.

Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Homage (care service provider for elderly), PC Gan berkata, pihaknya bersedia untuk memberi kerjasama dengan pihak berkuasa bagi menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan terutamanya kepada warga emas yang berada di rumah.

Menurut beliau, bukan semua warga emas yang tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi Covid-19 mempunyai gajet untuk membantu pemantauan rapi selepas mereka menerima vaksin.

Justeru, penjaga turut memainkan peranan penting dalam membantu memantau keadaan mereka seperti reaksi kepada vaksin berkenaan serta gejala selepas vaksinasi.

Beliau berkata, 'Home Nurse' serta penjaga perlu mengetahui langkah yang perlu diambil jika warga emas yang diberi 'lampu hijau' oleh doktor yang merawat mereka untuk mengambil vaksin, menunjukkan gejala selepas vaksinasi.

"Dalam aplikasi 'MySejahtera', seboleh-bolehnya wujudkan platform untuk 'home nurse' dan penjaga untuk mengemaskini maklumat warga emas yang telah divaksin bagi memudahkan KKM memperolehi data dan memberikan bantuan perubatan sekiranya menunjukkan gejala," katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa, tidak dapat dinafikan ada juga dalam kalangan warga emas yang risau terhadap kesan sampingan vaksin itu.

Oleh yang demikian, katanya, penjaga juga bertanggungjawab untuk mendidik mereka terhadap kesedaran pengambilan vaksin dengan menunjukkan testimonial dan maklum balas positif dari negara yang telah menerima vaksin.

Ruangan sisi

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang dilaksanakan secara berperingkat terbahagi kepada tiga fasa, dan akan memberi manfaat kepada 80 peratus atau 26.5 juta rakyat Malaysia di mana vaksin Covid-19 akan diberikan secara percuma.

Fasa pertama (Februari-April 2021) membabitkan Kumpulan utama 1, petugas barisan hadapan, merangkumi pertugas kesihatan kerajaan dan swasta; dan Kumpulan utama 2, petugas barisan hadapan yang merangkumi perkhidmatan penting dan pertahanan. Kedua-dua kumpulan ini melibatkan anggaran 500,000 orang.

Fasa kedua (April hingga Ogos 2021) pula dibahagi kepada dua kumpulan iaitu Kumpulan utama 1 melibatkan baki kakitangan penjaga kesihatan serta perkhidmatan penting dan pertahanan; Kumpulan utama 2 terdiri daripada warga emas berumur 65 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi mengalami penyakit kronik seperti jantung, obesiti, diabetes dan tekanan darah tinggi dan orang kelainan upaya (OKU). Kumpulan ini melibatkan sekitar 9.4 juta orang.

Fasa ketiga (Mei 2021 hingga Februari 2022) membabitkan penduduk berumur 18 tahun ke atas (warganegara dan bukan warganegara). Keutamaan diberikan kepada zon merah, zon kuning dan kemudian zon hijau. Anggaran sasaran 13.7 juta orang/lebih.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mac 2021 @ 11:02 AM