PASTIKAN tubuh mendapat keperluan vitamin B12 mencukupi. - FOTO Google
PASTIKAN tubuh mendapat keperluan vitamin B12 mencukupi. - FOTO Google
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


VITAMIN B12 juga dikenali sebagai kobalamin iaitu vitamin larut air yang penting kepada tubuh.

Ia memainkan peranan penting dalam menghasilkan sel darah merah, asid deoksiribonukleik (DNA) dan memastikan sistem saraf berfungsi dengan betul.

Vitamin ini secara semula jadinya boleh diperoleh daripada sumber makanan seperti daging, ikan, telur dan produk tenusu.

Bagaimanapun, masalah kekurangan vitamin B12 adalah perkara biasa terutama dalam kalangan warga emas.

Namun, golongan muda juga berisiko mengalami masalah ini, sekiranya tidak mendapatkan khasiat vitamin itu yang mencukupi daripada diet pemakanan harian.

Gejala kekurangan vitamin B12 ini mengambil masa bertahun sebelum timbul dan usaha mendiagnosisnya boleh menjadi rumit.

Lima gejala kekurangan vitamin B12

1. Pucat dan kulit kekuningan

Individu yang mengalami kekurangan vitamin B12, sering kelihatan pucat atau sedikit kekuningan pada kulit dan mata putih.

Keadaan ini terjadi kerana kekurangan vitamin B12 yang menyebabkan badan sukar untuk menghasilkan sel darah merah.

Vitamin B12 memainkan peranan penting dalam penghasilan DNA yang diperlukan untuk menghasilkan sel darah merah.

2. Keletihan dan lemah

Ini adalah gejala biasa dialami individu yang kekurangan vitamin B12.

Ia berlaku apabila tubuh tidak mempunyai vitamin B12 mencukupi untuk menghasilkan sel darah merah yang berperanan membawa oksigen ke seluruh badan.

Warga emas yang mengalami anemia kerana kekurangan vitamin B12, sering disebabkan keadaan auto imun yang dikenali sebagai 'pernisius anemia'.

Individu dalam keadaan pernisius anemia ini, tidak dapat menghasilkan protein penting mencukupi dikenali faktor intrinsik.

Faktor intrinsik adalah penting untuk mencegah kekurangan vitamin B12.

RADANG lidah mengakibatkan individu mengalami perubahan cara makan, bercakap. - FOTO Google
RADANG lidah mengakibatkan individu mengalami perubahan cara makan, bercakap. - FOTO Google

3. Perubahan mobiliti

Masalah kekurangan vitamin B12 yang tidak dirawat boleh merosakkan sistem saraf, akhirnya menyebabkan perubahan pergerakan dan berjalan.

Seterusnya menjejaskan keseimbangan badan dan menyebabkan individu cenderung jatuh semasa berdiri atau berjalan.

Ia sering terjadi pada warga emas kerana mereka tidak merawat gejala kekurangan vitamin berkenaan.

4.Glositis dan ulser mulut

Glositis ialah keradangan lidah yang boleh menyebabkan organ ini berubah bentuk dan warna selain membuatkan penghidapnya menanggung kesakitan.

Ia juga boleh mengakibatkan individu mengalami perubahan cara makan dan bercakap.

Sebilangan pesakit pula melalui pengalaman gejala kekurangan vitamin B12 yang berbeza iaitu bisul pada mulut dan merasakan lidah panas seperti terbakar.

5. Perubahan 'mood'

Individu yang kekurangan vitamin B12 sering dilaporkan mengalami perubahan mood.

Tahap vitamin B12 yang rendah dikaitkan dengan gangguan mood dan otak seperti kemurungan serta dementia.

Beberapa kajian menunjukkan individu tertentu yang kekurangan vitamin B12, jika mengambil makanan tambahan dapat mengurangkan gejala berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Februari 2021 @ 6:38 AM