KESAN kerintangan antibiotik yang teruk boleh mengakibatkan kematian.
KESAN kerintangan antibiotik yang teruk boleh mengakibatkan kematian.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

PESAKIT sering tidak menghabiskan ubat antibiotik mengikut tempoh yang ditetapkan apabila tubuh kembali sihat selepas pulih daripada sesuatu penyakit.

Ini tidak seharusnya berlaku dan pesakit tidak boleh berhenti mengambil ubat berkenaan tanpa arahan doktor.

Ahli farmasi Hospital Pakar An-Nur, Dewi Srikandi Kichek berkata, keperluan antibiotik kepada pesakit sangat penting dan ia perlu dihabiskan bagi mengelak berlaku jangkitan semula yang boleh menyebabkan penurunan tahap kesihatan.

Menurutnya, selain itu, ia juga untuk mengelakkan kerintangan antibiotik iaitu bakteria menjadi kebal terhadap antibiotik biasa yang digunakan untuk merawat jangkitan berpunca daripada bakteria berkenaan.

"Tanpa kerintangan, rawatan diberikan akan memberikan kesan yang positif.

"Sebaliknya, jika berlaku kerintangan terhadap antibiotik ini, rawatan yang diberikan tidak memberi kesan diinginkan," katanya.

Beliau berkata, perlu diketahui setiap kali pengambilan antibiotik, bakteria sensitif akan dimusnahkan.

"Bakteria sensitif ini bermaksud bakteria tidak rintang kepada antibiotik manakala bakteria kebal yang rintang kepada antibiotik tadi akan terus berkembang dan membiak.

"Seterusnya boleh berlaku mutasi bakteria dan menyebabkan antibiotik ini tidak dapat lagi melawan jangkitan disebabkan oleh bakteria terbabit.

"Bakteria yang kebal ini mengakibatkan jangkitan menjadi lebih teruk dan tidak boleh sembuh menggunakan antibiotik biasa," katanya.

Jelasnya, oleh itu pesakit memerlukan penggunaan antibiotik yang lebih kuat untuk proses penyembuhan.

"Penggunaan antibiotik secara tidak betul dan berulang kali akan meningkatkan bilangan bakteria yang rintang kepada antibiotik terbabit.

"Jika pesakit tidak menghabiskan pengambilan antibiotik, ia akan meningkatkan bilangan bakteria yang rintang terhadap antibiotik ini.

"Proses ini berlaku selama bertahun-tahun apabila kita kerap tidak menghabiskan antibiotik diberikan mengikut tempoh yang doktor tetapkan," katanya.

Dewi Srikandi berkata, kesan kerintangan antibiotik ini teruk dan boleh mengakibatkan kematian kerana jangkitan bakteria yang rintang itu menyebabkan rawatan menggunakan antibiotik biasa sering gagal.

"Oleh itu, pesakit memerlukan penggunaan antibiotik yang lebih mahal dan rawatan lebih lama, secara tidak langsung, kos keseluruhan rawatan akan turut meningkat" katanya.

Katanya lagi, terdapat beberapa cara yang boleh diamalkan untuk mencegah terjadinya kerintangan antibiotik.

"Pertama ialah mengambil antibiotik apabila disarankan doktor. Bukan semua batuk dan demam memerlukan ubat ini (antibiotik).

"Kebiasaannya, doktor memberikan antibiotik kepada yang memerlukan sahaja dan jangan sesekali 'paksa' doktor memberikan ubat ini apabila mendapatkan rawatan sama ada di klinik atau hospital," katanya.

Beliau berkata, jangan mengambil antibiotik untuk merawat penyakit yang disebabkan jangkitan virus.

"Penyakit biasa seperti batuk, selesema dan sakit tekak selalunya berpunca daripada jangkitan virus. Oleh itu, pengambilan antibiotik tidak membantu mengurangkan masalah ini.

"Kedua, perlu diberikan penekanan bahawa antibiotik adalah ubat terkawal yang hanya boleh diperoleh daripada doktor dan premis farmasi komuniti menerusi pemberian preskripsi sah. Tanpa preskripsi sah, antibiotik tidak akan dibekalkan kepada pesakit.

"Ketiga, pesakit perlu mematuhi arahan bahawa semua antibiotik yang dibekalkan itu perlu diambil mengikut tempoh masa ditetapkan walaupun tubuh sudah sihat.

"Sekiranya ada baki, jangan simpan baki antibiotik yang tidak dihabiskan itu untuk merawat penyakit sama pada masa akan datang," katanya.

Katanya, keempat ialah tidak berkongsi dos antibiotik dengan pesakit lain kerana kadar ubat (antibiotik) diperlukan setiap individu tidak sama.

"Terakhir, mengamalkan kebersihan diri bagi mengelak jangkitan dan penyebaran penyakit," katanya.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak membeli antibiotik secara dalam talian, melalui sumber tidak sah atau menggunakan ubat ini kerana ia di luar kawalan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Ini kerana ia berkemungkinan boleh mendatangkan kemudaratan teruk pada masa hadapan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 January 2021 @ 6:20 AM