BENCANA banjir satu cabaran kepada negara dalam mengekang penularan pandemik Covid-19.
BENCANA banjir satu cabaran kepada negara dalam mengekang penularan pandemik Covid-19.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


BANJIR yang melanda beberapa negeri ketika gelombang ketiga pandemik Covid-19 adalah cabaran besar buat Malaysia.

Ini kerana, bilangan kes positif pandemik berpotensi meningkat sekiranya mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) dan petugas tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Jika ia berlaku, ia akan melambatkan lagi usaha Malaysia untuk bebas daripada pandemik ini.

Mantan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Datuk Dr Rohaizat Yon berkata, tiada pengecualian kepada mangsa banjir dan petugas pusat pemindahan banjir untuk tidak mengamalkan SOP.

"Sebaliknya pematuhan ini perlu dipertingkatkan dan mengamalkan konsep Cegah, Amal, Patuh serta Pantau (CAPP) sepanjang berada di PPS bagi mengelakkan penularan.

"Selain perlu sentiasa memakai pelitup muka dan mencuci tangan, diingatkan jangan bersembang dengan jarak yang hampir kerana kita tidak mengetahui sama ada individu berkaitan itu sudah dijangkiti virus terbabit atau sebaliknya.

"Pada masa sama, segera maklumkan kepada petugas jika mempunyai gejala," katanya.

Menurut beliau, ada individu memakai pelitup muka namun bukan dengan cara betul kerana tidak menutupi hidung, sedangkan anggota itu bahagian penting perlu ditutup.

PATUH SOP sepanjang berada di pusat pemindahan banjir.
PATUH SOP sepanjang berada di pusat pemindahan banjir.

"Ini kerana, virus tersebar menerusi aerosol dan titisan daripada saluran pernafasan yang dilepaskan ke udara. Ada juga yang tidak mencuci tangan selepas menyentuh banyak tempat dan kemudian menyentuh hidung.

"Tanpa mereka sedar, terdapat cairan pada hidung mengandungi virus dan kemudian menyentuh atau bersalaman dengan individu lain.

"Sebolehnya, cuba elak kemunculan kluster baharu yang berpunca daripada PPS," katanya.

Ditanya bila jangkaan gelombang ketiga Covid-19 berakhir, Dr Rohaizat berkata, sukar untuk menjangkakan pengakhirannya.

Beliau berkata, dalam situasi terkini banjir, berkemungkinan terdapat seorang atau dua mangsa di PPS positif Covid-19 namun tidak bergejala.

"Ditambah pula, sekiranya PPS sesak, tentunya meningkatkan risiko jangkitan.

"Keduanya ialah mutasi pada virus Covid-19 iaitu D614G yang berlaku pada kluster Sivagangga di Kedah dan Sabah mempercepatkan penularan pandemik ini.

"Di luar negara, ada mutasi VUI 202012/01 dan A701V yang merebak dengan sangat cepat," katanya.

Menurutnya, beliau berpendapat, sekiranya semua pihak mematuhi SOP dan kerajaan menukar strategi, kemungkinan gelombang ketiga Covid-19 berakhir.

Jelasnya, sekiranya pematuhan SOP diabaikan, tidak mustahil muncul gelombang keempat pula.

SEBAIKNYA berada di khemah masing-masing untuk elak jangkitan.
SEBAIKNYA berada di khemah masing-masing untuk elak jangkitan.

Dr Rohaizat berkata, sebagai contoh, agensi peneraju perkhidmatan kewangan global, JP Morgan meramalkan kes kumulatif Covid-19 di Malaysia pada pertengahan April tahun lalu ialah 6,300 kes.

"Manakala Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) pula meramalkan kes kumulatif Covid-19 ialah antara 5,000 hingga 8,000 kes pada pertengahan April tahun lalu.

"Menyedari ramalan itu, kerajaan menukar strategi dan kesannya kes sebenar dicatatkan hanya 4,987 kes.

"Satu lagi agensi terkemuka dunia, Imperial College of London meramalkan pada 10 November lalu, kes harian wabak Covid-19 di Malaysia ialah 4,413 kes dan 7,407 kes pada 11 Disember lalu.

"Namun, hasil usaha kerajaan melaksanakan pelbagai strategi, kes yang direkodkan hanya 1,114 kes," katanya.

Beliau berkata, baru-baru ini, 'Institute for Health Metrics and Evaluation USA' turut meramalkan bermula Februari ini, Malaysia mencatatkan 5,000 kes baharu setiap hari.

Jelasnya, ini satu lagi cabaran kepada Malaysia untuk memastikan kes tidak meningkat mendadak dan ramalan agensi terbabit adalah berdasarkan fakta serta parameter yang munasabah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 January 2021 @ 6:43 AM