Perokok lebih berkemungkinan berhenti merokok untuk sekurang-kurangnya enam bulan apabila bertukar kepada vape dengan e-cecair nikotin berbanding kaedah terapi penggantian nikotin. - FOTO hiasan
Perokok lebih berkemungkinan berhenti merokok untuk sekurang-kurangnya enam bulan apabila bertukar kepada vape dengan e-cecair nikotin berbanding kaedah terapi penggantian nikotin. - FOTO hiasan
Muhamad Shaifullah Tayep

RAMAI perokok memulakan tahun baharu dengan azam berhenti merokok, sama ada dengan terapi penggantian nikotin atau berhenti serta-merta yang sememangnya bukan mudah untuk dilakukan.

Tanya sahaja pengalaman perokok yang  pernah cuba berhenti merokok. 

Menurut penilaian dikemas kini oleh pertubuhan penjagaan kesihatan antarabangsa berprestij, Cochcrane, kebanyakan perokok mungkin melakukannya dengan cara kurang berkesan.

Cochrane mempunyai ahli dan penyokong lebih daripada 130 negara dan diiktiraf secara meluas kerana kewibawaannya menghasilkan penilaian sistematik yang berkualiti tinggi, relevan dan terkini selain bukti penyelidikan sintesis lain untuk membantu dalam proses membuat keputusan penjagaan kesihatan di serata dunia. 

Penilaian Cochrane bertajuk, rokok elektronik untuk membantu berhenti merokok meninjau 50 kajian dijalankan di Amerika Syarikat, United Kingdom (UK), Itali, Australia, New Zealand, Greece, Belgium Kanada, Poland, Korea Selatan, Afrika Selatan, Switzerland dan Turki, mendapati e-rokok yang lebih dikenali secara umum sebagai vape, mungkin penyelesaian yang dicari perokok. 

Antara penemuan penting ialah perokok lebih berkemungkinan berhenti merokok untuk sekurang-kurangnya enam bulan apabila bertukar kepada vape dengan e-cecair nikotin berbanding kaedah terapi penggantian nikotin, vape tanpa nikotin atau sokongan tingkah laku. 

Penyelidik yang terdiri daripada pakar penjagaan kesihatan berkecuali dan terkemuka antarabangsa, mendapati vape dengan e-cecair nikotin boleh membantu 10 dalam 100 orang berhenti merokok berbanding hanya enam dalam 100 orang yang berhenti menggunakan terapi penggantian nikotin atau vape tanpa nikotin. 

Dianggarkan hanya empat dalam 100 orang yang cuba berhenti tanpa sokongan atau bergantung hanya kepada sokongan tingkah laku, berjaya melakukannya.  

Mereka juga tidak mengesan sebarang bukti jelas menunjukkan kemudaratan yang serius daripada vape dengan e-cecair nikotin.  

Pengarang utama penilaian, Kumpulan Ketagihan Tembakau Cochrane, Jamie Hartmann-Boyce, berkata terdapat semakin banyak bukti mengenai kejayaan berhenti merokok menerusi penggunaan vape dengan e-cecair nikotin berbanding penilaian terakhir pada 2016. 

"Bukti rambang mengenai pemberhentian merokok sudah meningkat sejak versi terakhir penilaian dan kini terdapat bukti bahawa rokok elektronik dengan nikotin berupaya meningkatkan kebarangkalian kejayaan berhenti merokok berbanding gum atau patch nikotin.

"Walaupun buat masa ini tiada bukti jelas mengenai sebarang kesan sampingan serius, hakikatnya masih wujud ketidakpastian nyata mengenai bahaya rokok elektronik dan data jangka panjang diperlukan dalam hal ini. Terdapat persetujuan saintifik bahawa rokok elektronik adalah jauh kurang berbahaya berbanding rokok biasa, tetapi tidak bebas daripada risiko," katanya. 

Pakar UK juga mengalu-alukan, penerbitan hasil penemuan daripada penilaian Cochrane ini. 

Profesor Emeritus Perubatan Pernafasan, University of Nottingham, UK, Prof John Britton, berkata, penilaian menyeluruh semua data mengenai keberkesanan rokok elektronik dalam usaha membantu orang ramai berhenti merokok nyata mengesahkan bahawa rokok elektronik menyediakan cara yang berkesan kepada perokok untuk berhenti merokok, malah lebih berkesan daripada sesetengah ubat berhenti merokok yang berlesen.  

"Oleh yang demikian, penilaian ini menyokong dasar UK yang menggalakkan penggunaan rokok elektronik sebagai produk pengguna yang membantu perokok berhenti merokok sepenuhnya dan menyokong cadangan NHS (Perkhidmatan Kesihatan Negara UK) terhadap penggunaan rokok elektronik," katanya. 

Sementara itu, Pengarah Unit Penyelidikan Kebergantungan Tembakau, Queen Mary University of London, UK yang juga pengarang kanan penilaian Cochrane, Peter Hajek, berkata e-rokok satu bentuk pengganti nikotin yang lebih menarik kepada perokok dan nampak lebih berkesan daripada produk terdahulu. 

"Hasil penilaian terbaharu terhadap ujian rambang ke atas pengguna vape adalah selaras dengan bukti lain daripada kajian kohort dan epidemiologi yang menunjukkan bahawa bagi ramai perokok, e-rokok adalah alat yang berkesan untuk berhenti merokok. 

Satu perkara penting yang perlu diingat ialah kajian mendapati tiada bahaya timbul daripada penyedutan vape dalam kalangan orang yang menggunakan e-rokok selama sehingga dua tahun," katanya. 

Cochrane dan Kementerian Kesihatan turut berganding bahu memberikan seluruh negara mengakses kepada Perpustakaan Cochrane yang terkenal di dunia, baru-baru ini. 

Penilaian ini yang boleh didapati di laman webnya, menyokong bukti yang semakin bertambah mengenai keberkesanan vape untuk membantu perokok mengatasi tabiat merokok.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 January 2021 @ 3:52 PM