MENGUKUR tekanan darah untuk mengetahui sama ada menghidap tekanan darah tinggi atau sebaliknya. - FOTO Google
MENGUKUR tekanan darah untuk mengetahui sama ada menghidap tekanan darah tinggi atau sebaliknya. - FOTO Google
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


'ALDOSTERONISME primer' sejenis penyakit darah tinggi yang berkemungkinan untuk sembuh sepenuhnya.

Pensyarah Jabatan Perubatan, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Dr Elena Aisha Azizan, giat mengkaji penyakit ini kerana pesakit berpotensi pulih sepenuhnya daripada menghidap tekanan darah tinggi, jika punca aldosteronisme primer dirawat.

Dr Elena Aisha berkata, ini kerana penyakit darah tinggi 'aldosteronisme primer' disebabkan oleh ketumbuhan dalam kelenjar adrenal yang merembeskan hormon aldosteron secara tidak terkawal.

"Aldosteron berlebihan menyebabkan garam natrium kekal dalam tubuh yang akhirnya menyebabkan tekanan darah menjadi tinggi.

"Oleh itu, aldosteronisme primer dikategorikan sebagai penyakit darah tinggi sekunder yang berpotensi dipulihkan.

"Caranya dengan merawat punca darah tinggi ini menerusi pembedahan laparoskopi bagi mengeluarkan ketumbuhan pada kelenjar adrenal," katanya.

Menurutnya, Survei Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019 menunjukkan, 9.6 juta penduduk di negara ini menghidap darah tinggi.

"Dianggarkan 10 peratus daripada jumlah populasi pesakit darah tinggi (hampir 1 juta) menghidap aldosteronisme primer. Malangnya, kesedaran mengenai penyakit ini dalam kalangan masyarakat masih rendah.

"Penyakit ini memerlukan perhatian serius memandangkan semakin ramai golongan muda didapati menghidap darah tinggi dengan paras tekanan darah yang sukar dikawal.

"Walaupun sudah diberikan pelbagai jenis ubat, tekanan darah mereka masih tidak dapat dikawal pada tahap memuaskan.

"Dalam kalangan pesakit darah tinggi yang tidak terkawal, satu daripada lima pesakit ini sebenarnya menghidap aldosteronisme primer," katanya.

Sementara itu, Pakar Perunding Endokrinologi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) PPUKM, Prof Dr Norlela Sukor berkata, sekiranya penyakit ini dapat dikesan lebih awal, rawatan awal dapat meningkatkan kebarangkalian tekanan darah kembali normal.

"Aldosteronisme primer perlu dikesan di peringkat permulaan kerana komplikasinya lebih teruk berbanding penyakit darah tinggi biasa, jika keadaan ini tidak dikesan dan dirawat.

"Rembesan hormon aldosteron yang tidak terkawal boleh mengakibatkan komplikasi seperti serangan jantung, kegagalan jantung, degupan jantung tidak normal, angin ahmar dan kegagalan fungsi buah pinggang.

"Sebaliknya, jika ia dikesan lebih awal, penyakit darah tinggi yang dihidapi pesakit berpotensi pulih sepenuhnya tanpa perlu bergantung kepada ubat darah tinggi seumur hidup," katanya.

Jelas beliau, PPUKM memiliki klinik khas bagi mengesan penyakit aldosteronisme primer.

"Kami giat menjalankan pemeriksaan saringan terhadap pesakit menghidap darah tinggi pada usia muda (bawah 40 tahun), darah tinggi sangat sukar dikawal dan darah tinggi berserta komplikasi yang teruk," katanya.

Katanya, walaupun ada pesakit yang menghidap darah tinggi melebihi 10 tahun, rawatan penyakit ini masih memberi manfaat.

"Ini kerana sekiranya sebelum ini pesakit memerlukan lima hingga tujuh jenis ubat darah tinggi, namun hasil rawatan membolehkan jumlah ubat itu dikurangkan kepada sejenis atau dua jenis ubat saja.

"Di Australia, 60 peratus pesakit darah tinggi jenis aldosteronisme primer sembuh selepas menjalani pembedahan laparoskopi membuang ketumbuhan pada kelenjar adrenal.

"Lebih 100 pesakit sudah menjalani rawatan ini di HCTM UKM," katanya.

Oleh itu, katanya, masyarakat disarankan meningkatkan kesedaran mengenai penyakit darah tinggi yang berpotensi sembuh.

"Langkah pertama untuk mengenal pasti penyakit darah tinggi jenis ini adalah dengan menjalani pemeriksaan saringan melalui ujian darah aldosteron.

"Penyakit ini juga boleh dikenal pasti apabila pesakit mempunyai kekurangan kalium iaitu salah satu kesan daripada hormon aldosteron yang berlebihan," katanya.

INFO

Kelenjar adrenal

  • Ada dua kelenjar adrenal.

  • Terletak di kiri dan kanan di bahagian atas buah pinggang.

  • Dikawal oleh kelenjar pituitari

  • Sebahagian daripada sistem endokrin

  • Menghasilkan hormon utama dalam tubuh

  • Gangguan kelenjar adrenal boleh memberi kesan terhadap kesihatan

    Jenis penyakit darah tinggi

    i. Darah tinggi primer

  • Paling biasa

  • 85 hingga 90 peratus pesakit menghidapnya

  • Punca penyakit ini tidak diketahui

    ii. Darah tinggi sekunder

  • Kira-kira 10-15 peratus pesakit menghidapnya

  • Boleh dirawat apabila puncanya dikenal pasti

    iii.Darah tinggi 'white-coat'

  • Mengalami tekanan darah tinggi di klinik, tetapi normal pada masa lain

  • Kira-kira 10 hingga 15 peratus pesakit menghidapnya
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 January 2021 @ 11:53 AM