SELEPAS selesai rawatan kemoterapi, pesakit barah boleh hamil selepas memasukkan semula ovari.
SELEPAS selesai rawatan kemoterapi, pesakit barah boleh hamil selepas memasukkan semula ovari.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Kesakitan kesan rawatan kemoterapi dialami wanita ini belum hilang. Kini dia diuji sekali lagi apabila putus tunang.

Bekas tunangnya tidak dapat menerima hakikat yang wanita itu menopaus.

Ia kesan selepas menjalani rawatan kemoterapi akibat barah payudara dihidapinya.

Menopaus ialah petanda kepada wanita yang mereka tidak lagi subur. Ia berlaku apabila pusingan haid berhenti sekurang-kurangnya dalam tempoh 12 bulan secara berterusan.

Ternyata 'kekurangan' wanita itu menggugat kesetiaan tunangnya walaupun mereka saling mengenali sejak sekian lama dan bakal mendirikan rumah tangga tidak lama lagi.

Itu antara dugaan dialami ramai pesakit barah termasuk wanita muda yang 'tua sebelum usia' akibat menopaus awal kesan daripada rawatan kemoterapi.

PEMBEKUAN embrio.
PEMBEKUAN embrio.

Disebabkan trauma itu, ada pesakit enggan menjalani rawatan kemoterapi kerana tidak mahu kesuburannya terjejas dan meranapkan impiannya bergelar ibu.

Bagaimanapun, kemajuan teknologi perubatan hari ini memberi harapan baharu kepada pesakit barah untuk tidak ragu-ragu menjalani rawatan kemoterapi.

Pada masa sama, ia turut memelihara kesuburan mereka.

Rawatan ini pula boleh dilakukan di Pusat Rujukan Onkofertiliti Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM).

Ketua Pusat Reproduktif Termaju (ARC) HCTM, Prof Madya Dr Abdul Kadir Abdul Karim berkata, satu daripada kaedah rawatan yang dimaksudkan ialah pembekuan tisu ovari (OTC) apabila perkhidmatan ini dilaksanakan oleh ARC di hospital berkenaan.

Beliau berkata, kaedah rawatan OTC ini sesuai bagi kes barah yang perlu menjalani rawatan kemoterapi secepat mungkin (keesokan harinya) sebaik didiagnosis penyakit itu seperti barah darah.

SETIAP potongan ovari disimpan dalam bekas berasingan.
SETIAP potongan ovari disimpan dalam bekas berasingan.

"Namun, pesakit barah lain boleh memilih rawatan ini bergantung kepada tempoh masa diberikan pakar sebelum mereka menjalani rawatan kemoterapi.

"Contohnya, pesakit barah payudara boleh diberikan masa dua minggu sebelum menjalani rawatan kemoterapi maka pilihan rawatan pemeliharaan kesuburan ialah pembekuan telur," katanya

Menurut beliau, setakat ini, empat pesakit sudah menjalani rawatan pembekuan tisu ovari sejak ARC beroperasi Ogos lalu dan semuanya menghidap barah darah.

"Rawatan ini ditawarkan kepada pesakit kanak-kanak, remaja dan wanita yang belum atau sudah berkahwin sebelum menjalani kemoterapi atau radioterapi.

"Sampel tisu yang diambil boleh disimpan sehingga 20 tahun sebelum digunakan," katanya.

Pembekuan sperma.
Pembekuan sperma.

Dr Abdul Kadir berkata, kajian OTC bermula awal 2000 dan kelahiran bayi pertama di dunia menerusi rawatan pembekuan tisu ovari ialah pada 2005.

"Pada 2015, kelahiran bayi pertama di dunia dihasilkan hasil pembekuan tisu ovari sebelum pesakit terbabit akil baligh.

"Di Malaysia, HCTM menjadi perintis bagi rawatan ini dan kita dalam peringkat promosi memandangkan kesedaran masyarakat mengenai OTC serta pemeliharaan kesuburan masih rendah," katanya.

Sementara itu, Pakar Reproduktif dan Onkofertiliti HCTM, Dr Mohd Faizal Ahmad berkata, pengambilan tisu ovari dilakukan melalui kaedah pembedahan lubang kunci atau laparoskopi.

DR Abdul Kadir
DR Abdul Kadir

"Dalam pembedahan ini, satu ovari dikeluarkan manakala satu lagi ovari dibiarkan pada kedudukan asalnya.

"Tujuan satu ovari dikeluarkan ialah kerana mahu mendapatkan seberapa banyak tisu pada organ berkenaan untuk disimpan.

"Sebelum mengambil ovari, beberapa ujian dilakukan seperti ujian hormon AMH bagi mengukur jumlah ovum (telur) yang ada," katanya.

Beliau berkata, ini kerana kebiasaannya jumlah telur yang dimiliki pesakit barah adalah lebih sedikit berbanding individu sihat.

"Individu sihat memiliki lebih 20 picomol/ml telur bergantung kepada usia mereka.

DR Mohd Faizal
DR Mohd Faizal

"Pesakit barah pula bacaan telur mereka ialah kurang daripada lima atau 10 picomol/ml," katanya.

Dr Mohd Faizal berkata, ovari yang dikeluarkan akan dipotong dengan ukuran satu sentimeter (cm) x satu cm dan setebal 0.5cm, ia untuk mengambil selaput di atasnya

"Beberapa keping potongan ovari ini dimasukkan ke dalam bekas dan kemudian ditempatkan ke dalam alat khas lalu ditutup dan dibungkus.

"Setiap satu keping potongan ovari diletakkan dalam satu bekas. Seterusnya dimasukkan ke dalam bekas yang mengandungi cecair nitrogen untuk membekukan tisu ovari ini," katanya.

Katanya, tujuan pembekuan ini untuk menyahaktifkan tisu ovari berkenaan supaya ia tidak membesar dalam tempoh penyimpanan.

"Selepas pesakit selesai menjalani rawatan kemoterapi, tisu ovari ini boleh dimasukkan ke dalam ovari satu lagi menerusi kaedah pembedahan.

"Dalam tempoh tiga bulan selepas pemindahan tisu ovari ini, pesakit akan kembali normal seperti sedia kala iaitu ovari menghasilkan hormon estrogen dan progesteron termasuk ada pusingan haid.

"Pesakit boleh hamil secara normal atau melalui kaedah rawatan kesuburan persenyawaan tabung uji (IVF)," katanya.

Namun begitu, jelasnya, peluang pesakit mendapat cahaya mata ialah 30 hingga 40 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 September 2020 @ 7:01 AM