DOKTOR boleh meyakinkan pesakit untuk menjalani rawatan kemoterapi.
DOKTOR boleh meyakinkan pesakit untuk menjalani rawatan kemoterapi.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


'SEL barah akan lebih mengganas dengan rawatan kemoterapi mengakibatkan keadaan pesakit menjadi lebih teruk'.

Itu antara mitos berkaitan rawatan kemoterapi menyebabkan segelintir pesakit barah enggan menjalani rawatan berkenaan.

Perunding Ginekologi dan Onkologi Regency Specialist Hospital, Dr Badrul Zaman Muda @ Abdullah berkata, respons kemoterapi setiap pesakit barah berbeza walaupun mempunyai jenis penyakit yang sama.

"Sebaik-baiknya, berbincang dengan pakar yang merawat daripada perspektif respons rawatan.

"Ini bagi menggelakkan pesakit mendengar khabar angin dan maklumat palsu daripada pihak tidak bertauliah atau berkelayakan," katanya.

Beliau berkata, satu lagi mitos ialah kemoterapi meracuni badan yang akan menyebabkan tubuh tidak mampu bertahan dengan ubat berkenaan.

Dr Badrul Zaman
Dr Badrul Zaman

"Setiap ubat sitoksik (ubat merawat barah) diberikan oleh pakar yang melakukan rawatan, ia adalah berdasarkan penelitian terhadap penyakit barah dihidapi pesakit.

"Ubat yang diberi akan dikira, disukat dan dijadualkan mengikut kesesuaian pesakit. Ia bertujuan memaksimumkan proses kematian sel barah di samping meminimumkan kesan sampingan pada sel normal.

"Proses saringan kesihatan sebelum, semasa dan selepas pemberian ubat kemoterapi juga dapat mengurangkan sebarang risiko komplikasi atau gejala tidak diingini.

"Sekiranya pesakit tidak sesuai menjalani rawatan kemoterapi, pakar akan memberikan rawatan bantuan, menangguhkan pemberian ubat sitoksik atau melakukan perubahan jadual dan dos ubat," katanya.

Menurut Dr Badrul Zaman, kemoterapi ialah ubat kimia bersifat sitotoksik yang bersifat khusus untuk mematikan sel barah secara menyeluruh melalui sistem darah.

Katanya, ubat kemoterapi ini akan bertindak dalam beberapa fasa pembahagian sel, bergantung pada jenis ubat sitoksik yang digunakan.

"Ubat ini diberikan melalui aliran pembuluh darah dan kemudian bertindak terhadap sel barah yang tidak dapat dibuang melalui keadah pembedahan atau secara radioterapi.

"Kaedah rawatan barah yang diberikan kepada pesakit adalah berjadual dan terkawal, mengikut jenis barah dan kesesuaian fizikal serta mental pesakit," katanya.

KEMOTERAPI berfungsi mematikan sel barah secara menyeluruh.
KEMOTERAPI berfungsi mematikan sel barah secara menyeluruh.

Menurut beliau, barah wujud apabila sel membahagi dengan cepat tanpa dapat dikawal oleh badan.

Oleh kerana ubat kemoterapi ini bertindak melalui beberapa fasa, pembahagian sel dan bergantung kepada jenis ubatan sitoksik berkaitan maka sel normal ada kalanya turut terkesan.

"Ini menyebabkan berlaku kesan sampingan kemoterapi sewaktu tempoh rawatan.

"Antara sel normal yang boleh terjejas adalah pelbagai jenis sel darah yang bertanggungjawab untuk memberikan daya ketahanan badan kepada manusia.

"Dalam tempoh rehat atau penjarakan kitaran kemoterapi, sel darah dan badan berpeluang untuk memulihkan daya ketahanan tubuh serta menggantikan semula sel yang rosak," katanya.

Jelasnya, perbincangan di antara pesakit, keluarga, doktor pakar, pegawai farmasi serta petugas rawatan kemoterapi adalah penting untuk meyakinkan pesakit supaya mahu menjalani rawatan terbabit.

"Pesakit perlu diberikan pemahaman yang tepat mengenai jenis, tahap barah, tujuan dan kaedah rawatan.

"Pertemuan bersama ahli kumpulan sokongan barah, perkongsian pengalaman rawatan dan tip persediaan sebelum rawatan oleh rakan pesakit dapat menambah keyakinan kepada pesakit untuk meneruskan perjuangan rawatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Ogos 2020 @ 6:09 AM